M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Struktur kos pengambilan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) akan dikaji setiap tiga bulan oleh Kumpulan Kerja Bersama (JWG) Malaysia-Indonesia bagi memastikan ianya seiring dengan keperluan semasa mengambil kira perubahan kadar tambang pengangkutan dan kos ujian kesihatan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kerajaan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung pengambilan dan perlindungan (PDI) pada 1 April 2022, yang mana proses pengambilan PDI akan bermula tidak lama lagi.

Menurutnya, struktur kos pengambilan PDI yang telah dipersetujui merangkumi 15 komponen kos di Malaysia dan di Indonesia.

Contoh komponen kos di Malaysia antaranya termasuklah deposit keselamatan imigresen, insurans, pemeriksaan kesihatan, levi, dan permit kerja.

Manakala contoh komponen kos di Indonesia pula antaranya seperti passport, visa kerja, sijil kesihatan, sijil kompetensi, dan ujian psikologi.

“Semua kos pengambilan PDI adalah di bawah tanggungan majikan selaras dengan garis panduan Fair Recruitment Initiative yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya dalam kenyataan di sini.

Saravanan menambah, MoU PDI yang baharu ditandatangani ini juga merupakan penambahbaikan daripada MoU terdahulu yang mana struktur kos hanya menggariskan komponen yang terlibat tanpa menetapkan kadar harga.

Katanya, pelbagai masalah timbul dalam pelaksanaan MoU terdahulu kerana struktur kos yang tetap dan terlampau rendah berbanding pasaran semasa yang menyebabkan majikan terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan khidmat PDI.

Selain itu, majikan juga dijangka dapat menjimatkan kos pengambilan sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 kerana tiada lagi keperluan kuarantin untuk PDI melainkan mereka didapati positif semasa ujian saringan Covid-19 di Malaysia. – MalaysiaGazette