PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akui masih menerima aduan kenaikan harga ayam sehingga kini.
Justeru Pengarah Penguatkuasa kementerian berkenaan Azman Adam mengingatkan, harga maksimum ayam kekal ditetapkan pada RM8.90 sekilogram masih berkuat kuasa sehingga 5 Jun.
“Tadi kita ada terima aduan dan saya telah arah ianya disiasat.
“Siasatan kami tidak akan berakhir di satu tempat, kalau peruncit kata dapat bekalan dengan harga yang mahal, kita akan pergi ke pemborong kalau pemborong pula kata dapat dengan harga mahal kita pergi ke penternak,” katanya ketika sidang media hari ini.
Jelas Azman, siasatan berkenaan aduan kenaikan harga ayam lazimnya mengambil masa kerana Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP perlu menjalani siasatan di pelbagai peringkat bermula ke peruncit sehingga penternak.
“Sebab itulah dalam kita menyiasat kita memerlukan sedikit masa kerana kita perku melengkapkan proses-proses dan tempat-tempat yang terlibat dengan pembekal itu,” katanya lagi.
Tambah beliau, dalam masa yang sama, KPDNHEP terus bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk menyiasat dakwaan berlaku peningkatan harga bahan mentah khususnya makanan ayam.
“Banyak mendakwa berlaku kenaikan bahan mentah dan sebagainya jadi kami sedang menguruskan dengan pihak MAFI sebab di peringkat ladang isu berkaitan makanan dan sebagainya ia perlu kami kerjasama dengan MAFI untuk dapatkan gambaran sebenar.
“Tapi kes tersebut kita memang ambil perhatian,” ujarnya lagi.
Sebagai rekod pada Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pengurangan 20 senharga maksimum runcit bagi ayam kepada RM8.90 sekilogram.
Manakala harga telur ayam semua gred kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.
Pelaksanaan harga maksimum itu berkuat kuasa pada 5 Februari sehingga 5 Jun 2022.-MalaysiaGazette