Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah memantau harga kawalan sempena Ramadan di Bazar Ramadan Taman Pelangi , Semenyih. Foto MUHD NA'IM, 05 APRIL 2022.

KAJANG – Sebanyak 309 premis perniagaan di Selangor telah diperiksa dalam Ops Pantau bermula 3 April lalu bagi memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan kerajaan.

Pemeriksaan membabitkan premis bazar Ramadan, bazar Hari Raya, pasar awam, pasar basah, pasar pagi, pasar raya, kedai runcit dan penjualan secara dalam talian.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, operasi digerakkan bagi memantau pergerakan harga dan bekalan pasaran sepanjang bulan Ramadan.

“Fokus pemantauan kita melibatkan harga bekalan, aktiviti jualan murah, alat timbang, barangan tiruan dan cetak rompak.

“Kita juga pantau penggunaan perbahasan halal serta pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2022,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas melakukan pemantauan di Bazar Ramadan Taman Pelangi, di sini, hari ini.

Menurut Muhamad Zikril, pada pemerhatiannya mendapati rata-rata para peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Sementara itu, Zikril berkata, setakat semalam pihaknya telah mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM700 kepada ketiga premis selepas gagal mempamerkan tanda harga pada barangan jenis sayuran.

Tambahnya, kesalahan itu dikesan KPDNHEP Gombak apabila kesemua premis terbabit didapati menggunakan alat timbang dan sukat yang tamat tempoh tentusahan.

“Saya ingin ingatkan, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan di bawah Ops Pantau ini,” ujarnya.

Sebarang aduan boleh disalurkan menerusi e-aduan KPDNHEP di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my, WhatsApp di talian 019-2794317 atau talian bebas tol 1-800-886-800. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast