Tangga kecemasan penting dalam reka bentuk bangunan. Gambar hiasan

 

UMUMNYA laluan kecemasan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Exit Access, Exit dan Exit Discharge. Kebiasaanya, Exit Accessialah koridor yang menuju kearah pintu keluar. Manakala, Exit merupakan tangga yang digunakan bagi menyelamatkan diri dari tingkat atas. Selain itu, Exit Discharge merupakan laluan keluar dari pintu ke kawasan selamat untuk berkumpul.

Kesemua bahagian di laluan kecemasan ini penting untuk dipantau bagi memastikan penghuni dalam bangunan dapat mengunakan laluan ini ketika kebakaran terjadi. Untuk itu, terdapat beberapa perkara yang perlu diambilkira oleh perekabentuk dalam memastikan laluan kecemasan adalah selamat.

Perkara tersebut termasuklah jarak perjalanan laluan kecemasan, laluan keluar, tangga, pintu kecemasan, papan tanda keluar, sistem pencahayaan kecemasan, kawasan perlindungan, dan pelan menyelamat diri. Justeru, langkah pertama sekiranya berlaku kecemasan seperti dalam situasi kebakaran adalah dengan menyelamat diri menggunakan laluan kecemasan.

Tindakan ini boleh dilakukan secara kendiri tanpa perlu menunggu ketibaan pegawai bomba. Sudah pasti, tindakan pantas akan mengurangkan risiko terjadinya kematian disebabkan kebakaran. Dalam keadaan normal, laluan kecemasan mungkin kelihatan berfungsi sebagai laluan biasa. Namun, fungsi laluan kecemasan ini amat penting sekiranya terjadi kebakaran di
dalam sesebuah bangunan.

Terdapat kajian emperikal yang merungkai masalah utama yang dihadapi oleh penghuni bangunan dalam usaha menyelamatkan diri. Realiti hari ini, laluan kecemasan di dalam bangunan kerapkali dijadikan tempat penyimpanan barang. Akibatnya, pintu kecemasan menjadi tersekat dan sukar untuk diakses.

Secara tidak langsung, ia akan melambatkan proses menyelamatkan diri untuk keluar dari bangunan berkenaan. Keadaan menjadi lebih kritikal apabila segelintir penghuni bangunan tidak biasa dengan persekitaran bangunan berkenaan. Seterusnya, ketiadaan papan tanda keluar dari bangunan juga menjadi penyumbang utama kepada masalah ini.

Lebih menyedihkan, kegagalan fungsi sistem pencahayaan di sepanjang laluan kecemasan menjadikan situasi menjadi lebih buruk. Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mendapati kes kebakaran bagi kategori bangunan kediaman adalah rendah. Namun, purata bilangan penghuni bagi sesebuah kediaman itu adalah sangat tinggi.

Justeru, situasi ini menunjukkan risiko dan kemungkinan menyebabkan kemalangan jiwa yang tinggi jika tidak diberikan perhatian serius. Umumnya, kebanyakkan bangunan telah dibina mengikut peruntukkan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984. Akan tetapi, piawaian bangunan preskriptif lama mungkin tidak sama dengan piawaian
bangunan yang dikuatkuasakan pada hari ini.

Oleh itu, sangat penting untuk meningkatkan tahap keselamatan dengan menetapkan piawaian mengikut situasi dan keadaan semasa. Persoalannya, apakah yang akan berlaku sekiranya susun atur ruang didalam bangunan menjadi punca halangan kepada penghuni untuk menyelamat diri?

Justeru, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah menggariskan beberapa panduan bagi menyelamatkan diri semasa kebakaran bangunan. Pertama, mengenalpasti jalan keluar. Ketika kebakaran berlaku, perkara pertama yang paling penting adalah mencari jalan keluar atau laluan kecemasan. Sekurang-kurangnya dua jalan keluar harus dikenalpasti bagi setiap ruang dalam bangunan untuk digunakan sebagai laluan kecemasan dan menyelamat diri daripada kebakaran.

Kedua, pengurus bangunan perlu menyediakan pelan menyelamatkan diri. Pelan Menyelamatkan diri amat penting terutamanya dalam membantu penghuni bangunan mengenalpasti laluan yang perlu digunakan sebagai laluan kecemasan. Pelan ini harus
menunjukkan susun atur didalam bangunan, menunjukkan arah laluan kecemasan seterusnya ke tempat selamat.

Ketiga, mengelakkan penggunaan jeriji. Penggunaan jeriji besi pada tingkap dan pintu kediaman seharusnya dielakkan. Sekiranya terpaksa memasang jeriji besi, pastikan jeriji tersebut boleh dibuka daripada dalam rumah terutamanya apabila kebakaran berlaku.
Keempat, memastikan jalan keluar tidak terhalang. Pastikan semua jalan keluar dari bangunan mudah dilalui tanpa sebarang halangan. Sekiranya terdapat sebarang halangan, ini akan menyebabkan kesukaran sewaktu menyelamat diri terutamanya ketika berlaku kebakaran.

Kelima, memasang alat pengesan kebakaran. Alat pengesan kebakaran amat penting untuk memberi isyarat bahawa bermulanya kebakaran didalam bangunan. Sekurang-kurangnya satu alat pengesan kebakaran harus dipasang di setiap ruang dalam bangunan. Mungkin laluan kecemasan nampak sebagai laluan biasa, namun laluan kecemasan ini amat penting terutamanya apabila terjadi kebakaran didalam bangunan. Panduan yang diberikan perlu dilaksanakan bagi semua penghuni bangunan.

Adnin Syaza Jaafar
Pensyarah
Program Ukur Bahan
Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi
Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur
UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast