KUALA LUMPUR – Perodua mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada suku pertama 2022 dengan 61,624 kenderaan telah didaftarkan, peningkatan sebanyak 6.4% daripada sejumlah 57,909 kenderaan yang dijual antara Januari dan Mac 2021.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, kesan daripada Covid-19 dan isu bekalan komponen masih ada, namun syarikat itu telah bekerjasama dengan para pembekal dan pengedar untuk mengurangkan
impak tersebut.
Pada Mac lalu, Perodua telah mencatatkan 26,759 kenderaan, peningkatan sebanyak 9.5% berbanding 24,433 unit yang dijual pada Mac tahun lalu .
Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan Mac melonjak 53.2% daripada 17,421 unit yang didaftarkan pada Februari 2022.
Pencapaian jualan bulanan tertinggi Perodua dicatatkan pada Oktober 2021 dengan 27,858 unit didaftarkan.
“Kami menjangka suku kedua 2022 akan menjadi kemuncak bagi industri automotif di mana jenama-jenama lain juga akan menghantar seberapa banyak kenderaan yang mereka mampu dalam tempoh tiga bulan tersebut.
“Walaupun bekalan cip semikonduktor dan Covid-19 masih mampu mempengaruhi pengeluaran, kami menjangkakan pengeluaran dan pendaftaran akan bertambah baik,” katanya yang tidak melihat faktor lain seperti konflik antara Rusia dan Ukraine akan memberi kesan yang besar kepada pengeluaran Perodua pada masa akan datang.
Berdasarkan faktor-faktor ini, Perodua akan mengekalkan sasaran jualan 247,000 kenderaan pada tahun ini.
Dalam pada itu, Zainal berkata, fokus Perodua kini mahu mempercepatkan penghantaran kenderaan kepada para pelanggan kami sebelum berakhirnya tarikh pengecualian cukai jualan pada 30 Jun 2022.
Bagaimanapun, menurutnya. Perodua turut bersama Persatuan Automotif Malaysia dalam rayuan bagi melanjutkan tarikh pengecualian cukai jualan kerana faktor seperti gangguan bekalan semikonduktor global dan kes Covid-19 masih memberi kesan kepada industri.
“Industri automotif, termasuk ekosistem tempatan amat berterima kasih kepada kerajaan atas inisiatif (pengecualian cukai jualan) tersebut kerana ia mampu meraih permintaan yang tinggi, sekali gus memajukan industri di sepanjang pandemik terburuk ini berlaku.
”Pada masa ini, ekosistem automotif tempatan mulai pulih secara beransur-ansur dan lanjutan pengecualian cukai jualan adalah rangsangan yang diperlukan oleh industri demi pertumbuhan yang mampan terutamanya dalam tempoh pemulihan,” kata Zainal. – MalaysiaGazette