CALIFORNIA – Polis telah menahan seorang suspek berhubung insiden tembakan di tengah-tengah Sacramento, ibu kota California, yang menyebabkan enam individu maut.
Suspek, Dandre Martin, 26, telah didakwa atas tuduhan menyerang dan memiliki senjata api secara haram, kata polis.
Namun polis percaya beberapa individu lain telah melepaskan tembakan di kawasan pusat bandar yang sibuk, berhampiran dengan bangunan Capitol negeri.
Pegawai telah mengenal pasti tiga lelaki dan tiga wanita yang terbunuh dalam tragedi senjata api yang paling teruk berlaku di Amerika Syarikat tahun ini.
Tiga mangsa lelaki adalah Sergio Harris, 38, De’Vazia Turner, 29, dan Joshua Hoye-Lucchesi, 32 manakala tiga wanita yang turut maut ditembak dikenalpasti sebagai Johntaya Alexander, 21, Melinda Davis, 57, dan Yamile Martinez-Andrade, 21.
Polis berkata, kesemua mangsa meninggal dunia ditempat kejadian apabila beberapa tembakan dilepaskan selepas jam 2 pagi di persimpangan 100th dan K Street.
Seramai lima daripada 12 orang lagi yang cedera dalam insiden itu masih dirawat di hospital manakala bakinya dibenarkan pulang.
Keganasan seumpama ini belum pernah berlaku untuk bandar itu, kata ketua polis.
Polis telah melakukan beberapa waran geledah setakat Isnin. Sekurang-kurangnya satu pistol yang dicuri, telah ditemui. – BBC (https://www.bbc.com/news/world-us-canada-60990658)