KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 6% tahun ini dan sederhana kepada 5.4% pada 2023, menurut Bank Pembangunan Asia (ADB).
Dalam laporan Tinjauan Pembangunan Asia, ADB menambah, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar di negara-negara membangun Asia dijangka kekal kukuh pada 5.2% pada 2022 dan 5.3% pada 2023.
Bagaimanapun, kadar pemulihan akan berbeza-beza di seluruh subwilayah.
Tetapi pertumbuhan serantau disokong oleh pemulihan kukuh dalam permintaan domestik di ekonomi-ekonomi yang memacu kedudukan sebelum pandemik terutama di Asia Selatan.
Pertumbuhan dijangka kekal kukuh pada 2022 pada unjuran 7%, meningkat kepada 7.4% pada 2023.
ADB berkata, Asia Timur hampir menumpu kepada trend wabak sebelum Covid-19 pada 2021 dan kadar pertumbuhan dijangka normal kepada 4.7% pada 2022 dan 4.5% pada 2023.
Mengulas mengenai Malaysia, bank itu berkata pertumbuhan pulih pada 2021, disokong oleh peningkatan permintaan global untuk eksport perkilangan dan keuntungan syarat dagangan daripada eksport sumber asli, dan permintaan domestik yang kukuh.
Tambahnya, sistem kesihatan yang kukuh dan kadar vaksinasi yang tinggi terhadap Covid-19 terus menyokong pemulihan.
Peningkatan import daripada peningkatan dalam pelaburan domestik mengurangkan lebihan akaun semasa.
Namun, tekanan inflasi semakin meningkat berikutan kenaikan harga tenaga, pemansuhan subsidi elektrik secara berperingkat dan gangguan bekalan yang berterusan.
Oleh itu, ADB berkata, membantu isi rumah miskin untuk kembali kepada norma pra-pandemik adalah cabaran utama. – MalaysiaGazette