MELAKA – Tindakan seorang lelaki yang aktif mencuri tabung duit di 23 masjid dan surau sekitar Melaka akhirnya terhenti selepas diberkas polis pada minggu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek yang berusia 33 tahun itu ditahan hasil risikan Op Tabung oleh sepasukan polis di sebuah rumah sekitar Pantai Puteri, Tanjung Keling, di sini, jam 12.15 pagi 1 April lalu.

Menurutnya, hasil serbuan pegawai dan anggota task force cawangan (D4) Risikan/Operasi/Rekod, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, suspek mengakui bergerak seorang diri melakukan jenayah itu.

“Suspek mengaku melakukan 23 jenayah pecah tabung masjid dan surau di sekitar Melaka seorang diri melibatkan 16 kes di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (6) dan satu kes di Jasin dengan jumlah kerugian keseluruhan RM5,650.

“Setiap kali melakukan perbuatan itu, suspek mengakui mendapat habuan antara RM3 hingga RM500 dan ketika ditahan, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM19 bersamanya.

“Selain tu, suspek juga mengaku melakukan jenayah sama di Negeri Sembilan yang mana hasil duit diperolehi digunakan untuk perbelanjaan harian, membaiki motosikal dan dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Tambahnya, dalam serbuan itu, polis turut merampas dua buah motosikal serta beberapa peralatan dan pakaian yang dipercayai digunakan suspek dalam jenayah pecah tabung masjid dan surau di Melaka.

“Suspek yang mempunyai rekod 13 kes jenayah dan enam rekod dadah kini direman sehingga hari ini untuk siasatan lanjut.

“Modus operandi digunakan suspek yang digelar Bang Chik adalah menyasarkan tabung yang kebanyakan tidak berkunci atau memecahkan mangga tabung yang berikat di tiang.

“Waktu jenayah dilakukan adalah antara 12 tengah malam sehingga jam 5 pagi,” katanya.

Zainol Samah

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang mana boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun penjara dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan sama, Zainol berkata, sepanjang tahun ini, Kontinjen Melaka berjaya menyelesaikan 11 kes pecah tabung masijid dan surau sekitar daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah melalui beberapa siri tangkapan sejak awal tahun.

“Namun begitu, jenayah ini terus berlaku dan menunjukkan trend yang membimbangkan sehingga mendorong pihak polis terus membuat risikan dan mengesan suspek lain.

“Berdasarkan statistik dari tempoh Januari hingga Mac 2022, sebanyak (41) kes telah dilaporkan dengan (30) kertas siasatan telah dibuka.

“Angka ini meningkat 24 kes berbanding tempoh sama tahun lalu yang menyaksikan hanya 17 kes sahaja dilaporkan dengan 11 kertas siasatan telah dibuka

“Polis Melaka amat memandang serius ke atas sebarang aktiviti jenayah di dalam Negeri Melaka dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pesalah-pesalah tersebut tanpa sebarang kompromi,” katanya. – MalaysiaGazette