KUALA LUMPUR – Kerajaan tetap komited untuk mewujudkan Akta Anti Lompat Parti sebagai jalan penyelesaian untuk menyekat ahli politik yang belot.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, terdapat banyak laporan yang memberi gambaran tidak benar mengenai perkara itu kononnya kerajaan cuba menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti.
Katanya, pembentangan itu bukanlah suatu perkara mudah, sebaliknya ia perlu memikirkan kaedah sama ada perlu dibuat sekali dalam perlembagaan atau lebih tertib dijadikan sebagai dasar.
“Saya baca banyak tulisan-tulisan semalam yang sebenarnya tidak menggambarkan keputusan jemaah menteri sehingga ada juga yang kata kerajaan telah menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti.
“Saya percaya penjelasan terperinci boleh diberikan oleh menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang sebenarnya telah melihat perkara ini.
“Kabinet telah membuat ketetapan untuk terus komited bagi mewujudkan Akta Anti Lompat Parti…itu tidak ada soalan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut Annuar berkata, disebabkan ketetapan mahu mewujudkan RUU berkenaan Perlembagaan perlu dipinda segera dalam mesyuarat khas yang akan diadakan minggu depan.
Jelasnya, Kabinet telah mengadakan perbincangan mengenai perkara berkenaan semalam dan boleh dikatakan kesemua yang hadir setuju agar Akta Anti Lompat Parti diwujudkan.
“Pendirian kerajaan adalah meneruskan mesyuarat khas Parlimen minggu depan untuk memulakan langkah bagi meminda Perlembagaan dan selepas itu disusuli dengan tindakan untuk menggubal dan membawa RUU anti lompat parti.
“Ini cuma soal kaedah dan benda begini tak boleh buat tak semena-semena…ia perlu proses kajian yang cukup mendalam,” tambahnya.
Terdahulu, Annuar menerusi ciapan di Twitter berkata, Akta Anti Lompat Parti tidak boleh dibuat tanpa terlebih dahulu meminda Perlembagaan.
Katanya, kerajaan komited untuk meneruskan penggubalannya, justeru sidang khas Parlimen bakal diadakan untuk meminda Perlembagaan dan membuka ruang bagi Akta berkenaan diwujudkan.
Sementara itu, ketika ditanya pandanganya mengenai bahasa Melayu yang menjadi isu sejak kebelakangan ini apabila menteri pendidikan Indonesia menolak cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar bahasa itu digunakan dalam persidangan ASEAN, Annuar berpendapat, polemik itu tidak perlu dipanjangkan.
Katanya, apa yang lebih baik adalah persetujuan asas untuk negara-negara ASEAN cuba menjadikan bahasa-bahasa yang berasaskan kepada Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.
“Lagipun kalau kita gunakan sekarang bahasa utamanya adalah bahasa Inggeris, bukan semua negara ASEAN ni di bawah jajahan Inggeris. Filipina jajahan Sepanyol, Indonesia jajahan Belanda tapi kenapa kita boleh sepakat menggunakan bahasa Inggeris, sebab banyak dipertuturkan dalam urusan harian.
“Jadi apa salahnya Bahasa Melayu boleh dipakai dalam bahasa kedua ASEAN…sebab itu kami menyokong pendirian Perdana Menteri,” ujarnya.
Terdahulu, Annuar meluangkan masa menziarahi seorang lelaki yang dibantu selepas mengalami kemalangan jalan raya pada Selasa lepas.
Lelaki itu Jamal Shanker Abd Rahman, 45, dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini bagi mendapatkan rawatan ekoran mengalami patah kaki kiri.
Dalam kejadian itu, Annuar yang kebetulan melalui Lebuhraya Kerinci Link menghala Sri Hartamas terserempak dengan mangsa yang terbaring di atas jalan raya.
Annuar kemudiannya menghulurkan bantuan dengan mengangkat mangsa ke tepi lebuh raya sebelum menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan. – MalaysiaGazette