KUALA LUMPUR – Prihatin dengan keluhan peniaga, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini membuat keputusan membuka semula pagar besi yang didirikan di tepi Bazar Aidifitri Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) demi keselesaan pengunjung dan peniaga yang memulakan operasi pada 9 April hingga 2 Mei ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah ketika ditemui MalaysiaGazette bagaimanapun berkata, pagar besi masih dipasang di lima pintu masuk utama bazar itu sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Tidak dinafikan pada tahun ini suasana di bazar Aidilfitri berbeza seperti tahun lalu kerana ada sedikit kelonggaran. Kini kita sudah berada di fasa peralihan ke endemik. Pihak kami telah mengkaji semula pemasangan pagar besi ini menerusi lawatan yang telah dibuat semalam dan awal pagi tadi, kami bersetuju untuk memasang pagar besi hanya di pintu masuk utama bazar.
“Pagar yang berada di kiri dan kanan pula akan dibuka dan ada kemungkinan, pengunjung akan masuk mengikut laluan rumah kedai yang mempunyai pintu belakang dan membolehkan mereka terus tembus ke ruangan Bazar Aidilfitri.
“Namun pengunjung dan peniaga diwajibkan untuk mengimbas Mysejahtera dan memakai pelitup muka terlebih dahulu sebelum memasuki mana-mana premis di sekitar Bazar Aidilfitri ini,” katanya ketika ditemui secara eksklusif bersama MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Mahadi, pengubahsuaian pagar besi itu akan dilakukan selepas DBKL membuat penelitian di sekitar kawasan Bazar Aidilfitri Jalan TAR.
Beliau berkata, para petugas DBKL akan ditempatkan di setiap pintu masuk bazar bagi memastikan para peniaga dan pengunjung mematuhi SOP membendung penularan Covid-19.
Menurutnya, kira-kira 400 kakitangan DBKL ditugaskan bagi mengurus Bazar Aidilfitri Jalan TAR yang akan bermula pada Sabtu ini.
“Keutamaan kita dalam pemasangan pagar besi ini adalah untuk memastikan pengunjung dan peniaga selamat daripada jangkitan Covid-19. Kita bersungguh sangat kerana ini merupakan lokasi yang menjadi tumpuan utama orang ramai mendapatkan keperluan sempena Aidil Fitri.
“Tidak kira rakyat tempatan termasuk pelancong untuk hadir. Saya juga menjangkakan lebih 30,000 pengunjung akan hadir ke sini berbanding tahun lepas sudah 20,000.
“Bayangkan, bagaimana kita ingin mengurus dan mengawal kehadiran orang ramai ini jika tiada teknik atau kaedah tertentu untuk memastikan tahap keselamatan mereka terjaga,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, tindakan yang dilakukan bukan ingin menyusahkan mana-mana pihak sebaliknya ingin membantu para peniaga kembali berniaga setelah terjejas akibat penularan Covid-19 malah ingin mengawal kesesakan pengunjung yang hadir ke bazar ini.
Namun begitu, DBKL sentiasa terbuka mendengar dan menerima setiap pandangan serta cadangan daripada semua pihak bagi mengatasi penularan jangkitan Covid-19 serta memberi peluang pada para peniaga mencari rezeki.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan para peniaga di tapak Bazar Aidilfitri Jalan TAR berasa kecewa dan terkilan dengan tindakan DBKL memasang pagar besi yang ketinggiannya melepas paras kepala di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika ditemui semalam memaklumkan pagar besi tersebut akan dibuka jika pemasangannya tidak bersesuaian dan menyerahkan kepada Datuk Bandar untuk membuat keputusan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Status pagar besi Bazar Aidilfitri Jalan TAR akan diputuskan Datuk Bandar – Shahidan