PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan harga pelitup muka bukan perubatan tidak akan mengalami kenaikan harga selepas penguatkuasaan perakuan dan penanda MS SIRIM pada 1 Januari 2023.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nantha Linggi berkata, pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan tidak boleh menaikkan harga produk kerana kos yang dikenakan SIRIM kepada mereka sangat minimum.
“SIRIM beri jaminan kepada saya, caj yang dikenakan untuk mendapatkan perakuan dan penanda MS SIRIM sangat rendah. Cajnya murah dan saya yakin pengilang pengimport tidak naikkan harga,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Selasa lalu, KPDNHEP mewajibkan pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat Pengguna, berkuatkuasa Selasa lalu.
Menurut KPDNHEP, penandaan MS SIRIM hendaklah diperoleh pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd, iaitu pihak berkuasa yang dilantik kementerian.
Pewartaan itu bertujuan memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, langkah kementerian menangguhkan penguatkuasaan itu bukan untuk mengkaji semula harga jualan produk itu kerana ia sudah berpatutan berbanding semasa pandemik dua tahun lalu.
“Pelitup bukan perubatan sudah dijual harga murah, saya tak lihat ruang perlu diperbaiki, industri dan pengguna diberi peluang.
“Saya berharap sebelum hujung tahun ini sebelum endemik sampai masa tidak diwajibkan guna pelitup muka dan tiada isu bila tidak diwajibkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette