KUANTAN – Tema Hari Kesihatan Sedunia tahun ini perlu diamalkan oleh komuniti yang kini memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April supaya mengharungi kehidupan dengan menikmati udara, air, dan makanan yang bersih.
Bertemakan Planet Kita, Kesihatan Kita: Ke Arah Udara, Air, dan Makanan yang Bersih, Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, ia relevan supaya masyarakat dapat hidup secara sihat dan selamat walaupun masih terdapat ancaman virus Covid-19.
“Bagi kita kekal menjaga kesihatan kita, setiap individu perlu mengenali dan fahami jangkitan Covid-19, terus amalkan langkah pencegahan, dapatkan vaksin dan dos penggalak.
“Selain itu, kita perlu sentiasa lakukan penilaian risiko kendiri amalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform dan Seek),” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.
Sambutan Hari Kesihatan Sedunia disambut pada 7 April setiap tahun
Jelas Nor Azimi, fasa tersebut merupakan merupakan stategi keluar dan amat kritikal bagi membolehkan kehidupan kembali seperti sebelum ini.
“Pengajaran daripada kejadian pandemik dan bencana mendesak kita untuk lebih prihatin terhadap alam sekitar.
“Kemusnahan ekosistem dan perubahan iklim akibat pembangunan dan aktiviti ekonomi tidak mampan menjadi punca kepada kejadian cuaca ekstrim dan kemerosotan kualiti alam sekitar yang memberi impak negatif kepada kesihatan dan kesejahteraan hidup,” katanya.
Justeru, menurut Nor Azimi, masyarakat perlu memastikan alam sekitar terus dijaga demi kesejahteraan generasi akan datang. – MalaysiaGazette