Ketua Misi dan Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr. Rabindra Abeyasinghe

KUALA LUMPUR – Pada fasa awal pandemik dianggarkan 129 bilion topeng muka dan 65 bilion sarung tangan digunakan setiap bulan secara global.

Ketua Misi dan Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr. Rabindra Abeyasinghe berkata, sehingga kini lebih dua tahun pandemik dan sudah tentu ia menyumbang kepada beban pencemaran plastik kepada alam sekitar.

“Barangan plastik yang biasa kita gunakan dalam kehidupan seharian seperti beg, botol air dan makanan pembungkusan, dengan ketara meningkatkan tahap gas rumah hijau dan pencemaran udara dan lautan menimbulkan kesan buruk kepada biodiversiti, iklim, kesihatan manusia dan ekonomi global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perasmian Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 menerusi maya hari ini.

Tema Hari Kesihatan Sedunia tahun ini adalah ‘Planet Kita, Kesihatan Kita’.

Menurut Dr. Rabindra, berita terkini yang membabitkan penemuan saintis terhadap plastik dalam darah juga mengundang kebimbangan.

Justeru, katanya, Malaysia juga perlu memperketatkan undang-undang dan polisi kerajaan bagi memperkasakan amalan kitar semula sekaligus mengurangkan pengeluaran plastik.

Masyarakat dan komuniti juga perlu menyokong usaha tersebut dengan mengubah tingkah laku menggunakan produk yang mudah dikitar semula.

Selain itu, katanya, petugas kesihatan juga wajar bersama-sama menjaga alam sekitar dengan mengurangkan beban sisa rawatan kesihatan.

Dr. Rabindra turut menyuarakan kebimbangannya terhadap bencana alam khususnya banjir buruk yang semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Katanya, perubahan cuaca yang ekstrem dikhuatiri akan terjadi sekiranya pemanasan global yang disebabkan pelepasan karbon yang tinggi berlanjutan.

Sehubungan itu, Dr Rabindra menyarankan agar undang-undang dan dasar yang sesuai peringkat kebangsaan dilaksanakan supaya untuk mengurangkan pelepasan karbon.

“Jelas bahawa kita perlu bekerjasama, dan sebagainya Hari Kesihatan Sedunia 2022 kita perlu bersatu untuk membina perpaduan ini kepada memelihara dan melindungi hubungan antara manusia dan planet dan akhirnya kesejahteraan kita sendiri,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast