KAJANG – Nama Butik Dzulldeclassique sudah tidak asing lagi dan cukup popular dengan rekaan pakaian terutamanya dalam kalangan golongan lelaki untuk membuat baju Melayu sejak lebih 20 tahun lalu.
Tidak dapat dinafikan, butik itu sentiasa terlintas di minda bagi mereka yang ingin mencari baju Melayu eksklusif, selesa dipakai dan berpotongan cantik serta kemas.
Justeru tidak hairan butik yang terletak di Jalan Reko, di sini, menjadi pilihan utama pelbagai lapisan masyarakat daripada yang berpendapatan sederhana hingga yang tinggi menjelang Aidilfitri.
Apatah lagi butik dapat kembali beroperasi seperti biasa selepas tempahan jatuh merudum gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun, Butik Dzulldeclassique menerima tempahan yang luar biasa sejak sebulan lalu.
Malah sejak awal Ramadan ini, pelanggan masih datang berpusu-pusu untuk membuat tempahan.
Namun pemiliknya, Zulkifli Rahmat, 45, berkata, pihaknya terpaksa menghentikan tempahan selepas mencecah 3,000 pasang baju Melayu akibat kekurangan kakitangan terutamanya tukang jahit.
Jelas beliau, jika diikutkan trend tempahan sebelum PKP, butik itu mampu menerima 6,000 tempahan sepanjang Ramadan.
“Tahun ini tempahan yang diterima amat luar biasa apatah lagi sejak awal Ramadan namun kami terpaksa hadkan tempahan kerana kekurangan di mana kebanyakan tempahan daripada pelanggan tetap sahaja.
“Kami hanya menerima 3,000 tempahan, separuh daripada sebelum PKP kerana kebanyakan kakitangan saya adalah warga asing di mana mereka pulang ke negara masing-masing sejak PKP 1.0.
“Namun saya bernasib baik mendapat bantuan daripada kawan-kawan tukang jahit yang tidak menerima sebarang tempahan tahun ini. Saya ada juga cuba melatih tukang jahit baharu tetapi ia mengambil masa untuk menjadi mahir.
“Harapan saya jika sempadan negara dibuka lebih luas kepada pekerja asing, tempahan masih boleh diambil namun kami sedar ada negara jiran yang masih belum membuka sempadan mereka,” katanya.
Beliua berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette di butiknya, di sini, baru-baru ini.
Zulkifli menambah, bagi sepasang baju Melayu, tempoh tiga jam diperlukan untuk disiapkan melibatkan proses potong kain dan jahitan.
Bapa kepada tiga anak ini turut memberi jaminan 3,000 tempahan yang diterima itu akan dapat disiapkan seminggu sebelum Aidilfitri ini.
“Sebenarnya tiada rahsia nama Dzulldeclassique kekal sehingga hari ini sejak beroperasi lebih 25 tahun lalu.
“Yang penting jujur dalam berniaga, servis dan kualiti yang bagus selain ramah dengan pelanggan,” katanya.
“Butik saya masih mengenakan harga mampu milik kepada semua lapisan masyarakat yang datang menempah baju Melayu.
“Apatah lagi, orang ramai sentiasa mahu berpakaian baju Melayu baharu di pagi hari raya yang wajib disambut meriah setahun sekali sahaja,” katanya berterus-terang.
Ditanya tema dan warna tempahan baju Melayu yang menjadi pilihan Aidilfitri tahun ini, Zulkifli memberitahu, pelanggan lebih gemar kepada warna yang lembut seperti biru muda dan gabungan biru dan ungu.
Sementara itu, Zulkifli memulakan perniagaan membuat baju Melayu pada tahun 1993 sebelum menyewa di Arked Mara Kajang dua tahun kemudian.
Beliau yang kini boleh dianggap ikon dalam dunia bisnes baju Melayu dan bertaraf jutawan berpindah ke bangunan baru di Jalan Reko di sini pada tahun 2016.
Kedai lama itu telah diubah suai sebagai butik pakaian wanita antara langkahnya untuk mengembangkan perkhidmatan Butik Dzulldeclassique pada masa akan datang. – MalaysiaGazette