KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor mematahkan aktiviti sindiket penyeludupan minuman keras dan organ haiwan sejuk beku menerusi rampasan yang dilakukan dalam empat serbuan berasingan di Klang pada bulan lalu.
Jumlah keseluruhan rampasan barangan itu dianggarkan berjumlah RM1,714,221 dan kesemua rampasan itu dipercayai merupakan barang larangan di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga/ Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, rampasan minuman keras itu dilakukan dalam serbuan pada 11 Mac lalu manakala cubaan menyeludup organ haiwan sejuk beku dipatahkan pada 23 dan 25 Mac lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 13,824 liter minuman keras dalam kontena di Pelabuhan Utara dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM82,944 dan dan jumlah duti atau cukai berjumlah RM217,382.40.
“Siasatan ke atas pengimport dan agen perkapalan masih dijalankan oleh pihak Kastam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Abdul Latif memberitahu, kastam juga berjaya mematahkan cubaan menyeludup organ haiwan sejuk beku apabila menyerbu dan menemui empat buah kontena di Pelabuhan Utara dan hasil pemeriksaan fizikal yang telah dijalankan mendapati kontena-kontena tersebut mengandungi frozen fish skin (kulit ikan beku) dan frozen beef bone (tulang lembu beku).
Katanya, kesemua empat buah kontena telah ditahan dengan muatan organ haiwan sejuk beku ini dengan anggaran kuantiti rampasan sebanyak 97,000 kilogram bernilai RM861,400.
Tambah beliau, seorang lelaki warga tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Pasukan kami kemudian melakukan serbuan ketiga pada pada 28 Mac lalu ke atas sebuah premis yang tidak berpenghuni di kawasan Klang dan hasil pemeriksaan fizikal yang telah dijalankan mendapati premis tersebut menyimpan minuman keras yang disyaki barang larangan.
“Minuman keras tersebut anggaran kuantiti rampasan sebanyak 8,394.89 liter dan bernilai sebanyak RM407,891.80 serta membabitkan cukai dianggarkan sebanyak RM444,762.91 manakala pemilik premis dan dagangan yang diserbu itu sedang disiasat Kastam,” ujar beliau.
Dalam pada itu, menurut Abdul Latif, penguatkuasa kastam telah membuat serbuan ke atas sebuah gudang di Zon Bebas Pelabuhan Klang yang membawa kepada penemuan minuman keras.
Katanya, jumlah kuantiti rampasan minuman keras dalam serbuan keempat itu melibatkan rampasan 7,887 liter minuman keras bernilai RM361,986.00 yang membabitkan jumlah duti/cukai sebanyak RM1,040,538.90.
Abdul Latif berkata, serbuan pertama, kedua dan keempat disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengimport barang tak berkastam atau apa-apa barang larangan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan maksimum 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Sementara itu, kes ketiga pula sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dengan disedarinya melindungi, menyimpan, menyembunyi, atau mempunyai dalam milikannya, atau membenarkan, membiarkan, menyebabkan atau mendapatkan untuk dilindungi, disimpan atau disembunyi, apa-apa barang-barang tak berkastam atau barang larangan,” jelasnya.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang dari sepuluh kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, katanya. – MalaysiaGazette