Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad ketika bercakap pada media selepas selesai Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan Tahun 2022 oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Hospital Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 08 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan pemberian subsidi kepada jemaah haji akan diteruskan walaupun kos mengerjakan ibadat itu dijangka meningkat sehingga RM25,000.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya akan berbincang terlebih dahulu bersama Lembaga Tabung Haji (TH) sebelum menentukan kadar kos bayaran yang akan ditanggung jemaah.

“Nanti kita akan umumkan (kos), malah (kuota haji). Saya baru balik dari Arab Saudi dan semua negara juga masih belum umumkan lagi dan sepatutnya (Arab Saudi) maklumkan sebelum Ramadan, tapi mungkin ada perkara yang perlu diselesaikan dahulu, kita masih tunggu.

“Subsidi akan tetap kita bagi, namun berapa jumlahnya tidak boleh umum lagi sebab ia masih lagi embargo. Kita akan bincang dengan TH dalam masa terdekat dan ia akan diputuskan Kabinet dan diumum kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan 2022 di Hospital Putrajaya, hari ini.

Semalam, Lembaga Tabung Haji (TH)  berkata, kos untuk jemaah Muassasah tahun ini (1443H/2022M) dijangka meningkat kepada lebih RM25,000 seorang berbanding RM22,900 pada 2019.

Kenaikan kos itu susulan peningkatan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Peningkatan 12 peratus itu mengambil kira peningkatan cukai tambah nilai yang telah dinaikkan daripada 5.0 peratus kepada 15 peratus dan beberapa caj perkhidmatan tambahan.

Ini tidak mengambil kira pelbagai peningkatan kos dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang akan dilaksanakan tahun ini.

Katanya lagi, kos haji adalah kos langsung yang dibayar bagi mendapatkan perkhidmatan  menunaikan ibadat berkenaan seperti penerbangan dan penginapan, yang merangkumi kira-kira 70 peratus daripada kos keseluruhan. – MalaysiaGazette