Nancy Shukri

SEPANG – Para karyawan, pencinta seni dan penguasaha kraf yang menghasilkan koleksi pelitup muka fabrik tidak perlu gusar dengan pengumuman kerajaan mewajibkan bahan itu mempunyai tanda MS SIRIM.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau yang maklum dengan kegusaran golongan itu memberi jaminan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terlebih dahulu.

“Kita akan minta supaya diberikan garis panduan supaya kita dapat bantu golongan karyawan yang sudah terlibat dengan penghasilkan pelitup muka fabrik ini.

“MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) juga akan menjalankan kajian sendiri berhubung penghasilan pelitup muka fabrik ini bagi terus menyokong penghasilan kraf seperti batik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran KUL Art Airport di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini

Pada 6 April KPDNHEP dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya mewartakan produk pelitup muka itu berkuatkuasa 4 April lepas, sekali gus mewajibkan pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat pengguna.

Bagaimanapun kelmarin, kementerian itu menangguhkan penguatkuasaan Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan ke 1 Januari 2023.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata penangguhan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas daripada umum kepada kementeriannya dan beri peluang kepada pihak industri dan pengguna untuk membuat penyesuaian sebelum pewartaan itu dilaksanakan.

Menurut Nancy, beliau memberi sokongan kepada golongan ibu tunggal dari kalangan B40 penghasilan pelitup muka fabrik seperti batik.

Katanya, ini Ini dapat membantu mempromosi identiti batik negara ini selain mengurangkan beban pengguna kerana barangan tersebut boleh diulang pakai. – MalaysiaGazette