TASEK GELUGOR – Seorang maut manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori di Jalan Ara Kuda, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 12.05 tengah hari itu menyebabkan Mohamad Fikri Mohd Zuki, 27, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.09 tengah hari.
Jelasnya, sebaik tiba di lokasi pihak bomba mendapati terdapat tiga mangsa dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza manakala lori yang terlibat dalam kemalangan sama tiada pemandu.
“Pemandu didapati tersepit di tempat duduknya manakala dua lagi penumpang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan lanjut.
“Mangsa tersepit itu dikeluarkan pada jam 12.44 tengah hari sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.37 tengah hari. – MalaysiaGazette