The Dewan Rakyat sitting at the Parliament in Kuala Lumpur Dewan Rakyat sit sitting
Persidangan Dewan Negara.

TERDAPAT beberapa pihak, baik dari kerajaan mahupun dari pembangkang, kini mula mempertikaikan kebolehlangsungan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021.

Perkembangan baru ini timbul kerana Kerajaan dikatakan akan gagal menunaikan janji yang dibuat olehnya untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan anti-lompat parti dalam sidang khas Parlimen yang dijadualkan akan berlangsung pada 11 dan 12 April ini.

Ada juga dakwaan lain yang menyatakan kemungkinan wujudnya pembelot dalam Kerajaan yang cuba mensabotaj pembentangan RUU Pindaan Perlembagaan anti-lompat parti ini sehingga mengakibatkan Mesyuarat Kabinet pada 6 April lalu bersetuju menangguhkan pembentangan ini.

Berpeluang mengikuti dari dekat proses penggubalan RUU dan sesi libat urus yang dilangsungkan selama ini, saya cukup kagum dengan komitmen yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan pasukan beliau ke atasnya.

Setelah kaji selidik awam dan penyediaan kertas kajian awal dasar dilakukan, sesi libat urus bermula dengan pengedaran draf awal RUU kepada parti-parti komponen pada 24 Disember 2021 serta pembentangan draf RUU dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal pada 25 Januari 2022.

Seterusnya, pelbagai sesi libat urus telah Wan Junaidi bersama-sama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) lakukan bersama Ahli-Ahli Parlimen serta Majlis Tertinggi parti-parti komponen pada 8 dan 9 Februari serta pada 2, 7 dan 8 Mac 2022.

Paling mutakhir adalah sesi libat urus bersama Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada 30 Mac 2022 dan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada 5 April 2022 dalam mana penjelasan telah diberikan kepada kedua-dua pihak yang turut memberikan maklum-balas ke atasnya.

Berbeza daripada sangkaan bahawa pemimpin BN, khususnya UMNO, akan membangkang RUU ini kerana sekarang adalah musim lompatan ke arah UMNO, mereka, yang diketuai oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, menyatakan sokongan penuh kepadanya.

Pemimpin PN pula, walaupun bersetuju secara prinsipnya dengan RUU ini bagaimanapun mahukan ia dibincangkan dengan lebih halus dan terperinci lagi, termasuk cadangan peruntukan bahawa Ahli Parlimen akan terlucut jawatan jika beliau dipecat daripada sesebuah parti politik.

RUU ini dalam bentuknya yang asal dikatakan akan memberi kuasa penuh kepada sesebuah parti politik, termasuk untuk memecat seorang Perdana Menteri dengan cara memecat beliau dari parti politik tersebut yang sekali gus menyebabkan beliau akan terlucut jawatan sebagai Ahli Parlimen.

Ada juga maklum-balas yang mahukan supaya undang-undang anti lompat parti dibuat dalam bentuk akta dan bukannya dalam bentuk pindaan Perlembagaan yang sifatnya terlalu umum dan yang akan menjadi sukar untuk dipinda di kemudian hari disebabkan ia memerlukan 2/3 majoriti.

Dihujahkan juga bahawa jika undang-undang anti lompat parti ini dibuat dalam bentuk akta maka lebih banyak perincian yang boleh dibuat dari segi takrifan, pengecualian dan ilustrasi kes-kes tertentu yang boleh dimasukkan dan yang tidak boleh dimasukkan ke dalam kategori lompat parti.

Disebabkan hujah-hujah yang diberikan dalam sesi-sesi libat urus inilah maka Mesyuarat Kabinet pada 6 April lalu bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan dahulu untuk membenarkan hak untuk membentuk persatuan dihadkan oleh undang-undang persekutuan pada 11 dan 12 April ini.

Mengikut RUU yang dinamakan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 yang bakal dibentangkan ini, Perlembagaan Persekutuan akan dipinda dengan memasukkan Fasal baharu (3A) ke dalam Perkara 10 yang berkait dengan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Kemasukan Fasal baharu (3A) ini bertujuan membolehkan sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang berhubungan dengan keahlian dalam parti politik ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri boleh juga dikenakan oleh undang-undang persekutuan.

Sesungguhnya penat-lelah Wan Junaidi bersama-sama BHEUU dan AGC selama ini tidaklah sia-sia malah ia membuktikan betapa kerajaan, khususnya Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, sendiri amat terbuka kepada pandangan yang berbeza dari dalam kerajaan sendiri.

Jika RUU ini dalam bentuknya yang asal tetap dibentangkan dalam sidang khas Parlimen pada 11 dan 12 April ini, ia, seperti telahan pengamat politik tertentu, mungkin masih boleh memperolehi sokongan 2/3 majoriti walaupun dibangkang oleh sesetengah Ahli Parlimen dari blok Kerajaan.

Begitupun, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mengandungi prinsip-prinsip keterangkuman dan kebersamaan serta selaras dengan pendekatan akomodatif Ismail Sabri sendiri, maka pilihan untuk mencapai konsensus adalah terpuji demi pengekalan kestabilan politik.

Apatah lagi bila dalam kenyataan bersama Wan Junaidi dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu MoU telah terkandung persetujuan kedua-dua pihak untuk memberi sokongan kepadanya menjadikan pertikaian ke atas MoU tidak lagi relevan.

Adalah diyakini bahawa RUU yang akan memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan ke atas Ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri untuk bertukar parti ini akan diluluskan diikuti dengan kelulusan akta baharu ini dalam satu lagi sidang khas Parlimen.

Tidak syak lagi, kesemua langkah yang diambil ini adalah dalam semangat untuk merealisasikan titah nasihat Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu sewaktu ia mula ditubuhkan, khususnya mengenai pendekatan baru kerjasama “dwi-partisan” untuk kestabilan politik negara.

Dr Kamarul Zaman Yusoff adalah Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), merangkap Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR)