bas rapid kl
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), pengendali perkhidmatan pengangkutan bas Rapid KL, sedang melakukan siasatan berhubung satu ciapan di Twitter yang tular di media sosial semalam mengenai kejadian pintu bas ditutup semasa ada penumpang berlari untuk menaiki bas berkenaan.

Rapid Bus dalam satu kenyataan berkata ciapan pengguna Twitter yang menggunakan akaun @azlanalanlan itu memaparkan kejadian yang dikatakan berlaku di Jalan Klang Lama sekitar pukul 3.10 petang, dan pihaknya sedang menyiasat bagi mengenal pasti kapten bas berkenaan.

“Kami memandang serius dakwaan mengenai kejadian itu yang melibatkan etika dan tanggungjawab sebagai seorang kakitangan Rapid Bus. Sekiranya bersalah, tindakan tatatertib sewajarnya akan diambil,” menurut kenyataan itu hari ini.

“Rapid Bus memohon maaf atas kejadian ini dan memberi jaminan tindakan susulan yang sewajarnya akan diambil bagi memastikan perkara sebegini tidak akan berulang,” katanya dan menambah oramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai insiden itu diminta menghubungi Rapid KL dengan menelefon 03-7885 2585 bagi membantu siasatan.

— BERNAMA