Sektor pembinaan antara industri yang mengalami masalah kekurangan tenaga mahir di negara ini. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Technical Working Group on Human Capital (TWGHC) di bawah Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) telah bekerjasama dengan wakil-wakil persatuan daripada industri di negara ini bagi mengatasi kekurangan pekerja sama ada pekerja mahir, separa mahir dan kurang mahir

Industri itu termasuk pembuatan, pembinaan, aeroangkasa, dan perladangan di Malaysia untuk mengatasi isu tersebut.

Objektif utama TWGHC adalah untuk memastikan modal insan yang cemerlang dalam usaha meningkatkan produktiviti negara bagi mengekalkan daya saing dengan negara-negara lain.

TWGHC bertanggungjawab untuk menyemak semula peraturan-peraturan berkenaan modal insan bagi memastikan sektor-sektor perniagaan dapat menjalankan perniagaan dengan lancar dan mencapai keuntungan yang optimum.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, isu-isu berkenaan modal insan yang dibincangkan di peringkat TWGHC menjadi pencetus kepada inisiatif yang kini giat dilaksanakan oleh MPC terutamanya menerusi perlaksanaan dan penubuhan Academy in Factory (AiF) yang dipercayai akan dapat memberi 300,000 pekerjaan menjelang tahun 2025.

Mesyuarat kumpulan fokus pertama TWGHC telah diadakan di ibu pejabat MPC pada 21 Mac lalu.

Pada suku pertama ini, ahli-ahli TWGHC terdiri daripada wakil-wakil daripada persatuan yang merangkumi industri pembinaan, perkilangan, perladangan dan aeroangkasa.

Antara persatuan terlibat yang telah hadir dalam mesyuarat pertama adalah Malaysia Employers Federation (MEF), Malaysia Semiconductor Industry Association (MSIA), Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Real Estate and Housing Developers Association (REHDA), Malaysia Aerospace Industry Association (MAIA), Master Builder Association Malaysia (MBAM), Human Resource Development Corporation (HRDC) dan Malaysian Estate Owner Association (MEOA).

Menurutnya, objektif mesyuarat kumpulan fokus pertama ini adalah untuk mengenal pasti isu-isu berkaitan tenaga kerja dan bakat yang dimiliki oleh setiap industri terlibat.

Mesyuarat ini juga adalah bertujuan untuk mengenal pasti masalah-masalah berkaitan tenaga kerja dan inisiatif untuk memperbaiki pembangunan bakat dan kerjaya.

Semua peserta mesyuarat telah berjaya berbincang dan mengadakan percambahan fikiran mengenai permasalahan dan isu semasa dan hasil dapatan dijangka akan dibentangkan kepada PEMUDAH untuk merangka langkah seterusnya.

Dengan jalinan kerjasama PEMUDAH dan MPC ini, diharap dapat mengenalpasti isu yang timbul dan dapat memperbaiki situasi yang semakin mencabar kini, kata Abdul Latif. – MalaysiaGazette