Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Presiden Amanah, Mohamad Sabu mendakwa jika Pakatan Harapan mahu mereka boleh menggantikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan ahli Parlimen yang lain dengan menawarkan jawatan kepada mereka.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja itu bagaimanapun berkata, Pakatan Harapan tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

“Sekarang kalau kami mahu PM ini juga boleh ditukar. If we want. Tapi kami tak mahu. Kami sudah buat perjanjian persefahaman (MoU) jadilah PM. Buatlah kebaikan untuk rakyat sehingga pilihan raya akan datang.

“Bagaimana sikap terbuka di pihak kami. Kalau kami mahu dengan majoriti yang sedikit di pihak sana kita boleh tawar beberapa jawatan kepada mereka datang pula sebelah sini. Menteri pulaklah aku tetapi kita bukan jenis itu.

“Bagi kita bila kita tandatangan MoU maka kita ikut dan kita harap PM juga, setakat ini alhmadullilah kita lihat setia dengan MoU ini bolehnya diperbaiki dari semasa ke semasa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Mesyuarat Khas Parlimen hari ini membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 bagi membolehkan RUU Perlembagaan (Pindaan) berhubung Antilompat Parti dibentang, dibahas dan diluluskan.

Menurut Mohamad pindaan rang undang-undang tersebut memberikan kelegaan kepada dirinya selepas sekian lama menjadi Ahli Parlimen.

“Inilah berasa kelegaan jiwa apabila Parlimen bersetuju bawah Perdana Menteri untuk meminda lompat parti. Jiwa kita kacau dan sakit jiwa begitu lama.

“Tak kira di pihak mana yang mana melompat. Bukan bila pihak sana melompat kita gembira, pihak sana lompat pihak sini lompat kita pula gembira.

“Dan yang lompat juga kami termasuk parti yang hebat DAP juga ada yang melompat. Jadi melompat melompat ini sudah jadi perkara biasa dalam Malaysia,” kata Mohamad.-MalaysiaGazette