Azri Ahmad

KUALA LUMPUR – Laporan bedah siasat membabitkan mayat Orang Kena Tahan (OKT) di lokap berpusat Indera Mahkota, Kuantan Pahang semalam berpunca jangkitan paru-paru dan tibi.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, bedah siasat ke atas OKT yang berusia 42 tahun itu dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan hari ini.

“Laporan bedah siasat itu mendedahkan tiada sebarang kecederaan atau elemen jenayah pada badan simati (OKT).

“Kesimpulan awal daripada pemerhatian doktor berdasarkan bedah siasat mendapati status kematian adalah akibat “acute on chronic lung infection with Underlying pulmonary tuberculosis with Covid-19“,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh demikian katanya, kematian OKT berkenaan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

Bagaimanapun,  Azri menjelaskan bahawa Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJT) JIPS Bukit Aman akan tetap meneruskan siasatan dari pelbagai sudut dalam kematian OKT itu.

“Kemudian hasil siasatan itu kita akan menyerahkan kepada koroner untuk keputusan,” tegasnya.

OKT telah dihantar ke lokap berpusat Indera Mahkota, Kuantan bagi menjalani hukuman penjara lapan bulan atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta dadah Berbahaya 1952 dan sebutan kes pada 14 April 2022 bagi kesalahan mengikut 12(2) akta yang sama.

OKT berkenaan merupakan tahanan daripada Penjara Penor, Kuantan. – MalaysiaGazette