Wisma Putra
Tindakan memanggil pulang Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai ke kementerian berkenaan disebabkan kegagalan dua pegawai terbabit menguruskan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Dubai pada 29 hingga 31 Mac lalu.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tindakan memanggil pulang Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai ke kementerian berkenaan disebabkan kegagalan dua pegawai terbabit menguruskan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Dubai pada 29 hingga 31 Mac lalu.

Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi kenyataan menjelaskan, kedua-dua pegawai kanan terbabit gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan Perdana Menteri seperti masa yang sepatutnya berdasarkan Prosedur Operasi Tetap (SOP) bagi lawatan peringkat tertinggi negara di luar negeri terutama semasa ketibaan Perdana Menteri di Dubai pada 29 Mac.

Katanya, kegagalan itu telah menyebabkan Perdana Menteri terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai selain ketiadaan liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk Perdana Menteri seperti amalan SOP.

“Lazimnya dalam apa keadaan sekali pun seperti mana ketika Perdana Menteri menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York walaupun kerajaan tuan rumah tidak dapat menyediakan taraf tetamu, Ketua Perwakilan Malaysia tetap menyediakan liputan dan kawalan keselamatan serta motoked yang mengikuti SOP untuk Perdana Menteri,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, kedua-dua pegawai terbabit juga gagal memaklumkan kepada kementerian di Putrajaya mengenai penganjuran Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia (WGS) yang diadakan di dalam Kawasan Ekspo Dubai.

“Pimpinan tertinggi KLN hanya mengetahui mengenai WGS pada pagi 30 Mac melalui sumber lain. Sekiranya pimpinan tertinggi KLN telah dimaklumkan awal mengenai penganjuran WGS pastinya usaha dibuat supaya Perdana Menteri dapat menyampaikan ucapan di program tersebut,” katanya.

Terdahulu, KLN menyatakan kekesalan dengan laporan sebuah portal berita berhubung lawatan Perdana Menteri ke Dubai di mana ia bukan sahaja mengandungi maklumat tidak tepat malahan lebih bersifat spekulasi dan tohmahan yang tidak berasas.

“Berdasarkan kandungan tulisan itu jelas sekali sumber yang dirujuk atau dipetik bukannya datang daripada pegawai atau pihak yang terbabit secara langsung dalam mengendalikan urusan lawatan berkenaan,” ujarnya.

Masalah di UAE tidak akan berlaku sekiranya penyelarasan dibuat lebih awal. Ini kerana kerajaan UAE telah menyediakan semua kemudahan kepada Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan hingga akhir lawatan.

Justeru semasa majlis pelepasan pulang Perdana Menteri dari Dubai, kerajaan UAE mengaturkan static guards of honour di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum dan Kerajaan UAE diwakili oleh Menteri Negara bagi Kecerdasan Buatan (AI) dan Ekonomi Digital UAE, TYT Omar Sultan Al Olama.

TYT Omar turut menyampaikan undangan kerajaan UAE kepada Perdana Menteri untuk menyampaikan Ucaptama di WGS tahun hadapan dan Perdana Menteri telah menyatakan persetujuan menerima undangan berkenaan.

KLN berkata, tindakan memanggil balik kedua-dua pegawai kanan itu bukan sesuatu yang luar biasa dan dibuat melalui perundingan dengan pihak-pihak yang berkenaan termasuklah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ia diambil bagi menjaga kepentingan hubungan dua hala antara Malaysia dan negara-negara berkenaan di samping bagi memastikan kompetensi dan kepentingan perkhidmatan awam. – MalaysiaGazette