Pengarah KNDKA Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali Foto MUHD NA'IM, 11 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Pergerakan besar-besaran balik kampung dijangka berlaku di seluruh negara menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, bagi menghadapi suasana itu, pihaknya sudah bersiap sedia dan akan mempertingkatkan pemantauan terhadap pergerakan kenderaan di lalu lintas dan juga pematuhan prosedur operasi standard oleh pengguna jalan raya.

Katanya, daripada 26,000 kekuatan pegawai dan anggota KDNKA yang ada hanya 10 peratus dibenarkan untuk bercuti pada perayaan kali ini manakala selebihnya bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang musim perayaan kali ini.

“Semasa musim perayaan nanti, bermula 30 April hingga 4 Mei 2022 saya jangkakan waktu itu akan berlaku pergerakan (balik kampung) besar-besaran berlaku di seluruh negara sebab orang nak balik kampung sempena perayaan dan sebaliknya.

“Pesanan saya kepada mereka sangat senang, kenderaan di atas jalan dan lebuhraya patuhi keselamatan lalu lintas serta SOP yang masih dikuatkuasakan pada fasa endemik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyempurnakan Majlis Perbarisan dan Serah Terima Tugas Timbalan Pengarah KDNKA, (PGA), Komander Briged Tengah PGA, Komander Unit Tindakan Khas, Pengerusi Perkep Briged Tengah PGA dan Pengerusi Perkep Unit Tindakkhas dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di PGA Cheras.

Hadir bersama, Timbalan Pengarah KDNKA (Gerakan) Komisioner Datuk Kasuahdi Ali dan Tiimbalan Pengarah KDNKA (PGA) Deputi Komisioner Muhammad Abdul Halim dan Komander Vriged Tengah PGA Senior Asisten Komisioner Zulkifli Jonit.

Tambah Hazani, pihaknya akan mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan di sepanjang lebuh raya utama termasuk Barat-Timur khususnya di Rumah Rehat dan Rawat (RnR) yang kerap menjadi lokasi tumpuan pengguna sehingga membawa kesesakan.

“Kita akan bertolak ansur dengan mereka menasihat dan memberi peringatan sebagainya jika tidak dengar nasihat barulah kita akan keluarkan kompaun ingkar SOP dan sebagainya.

“Sepanjang endemik yang bermula 1 April lalu cuma pada 9 April lalu sebanyak 183 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk melanggar SOP  tetapi keseluruhannya kes perlanggaran peraturan tak banyak berlaku kerana rakyat kita majoritinya sedar dan memahami keadaan semasa Covid-19 serta patuh SOP,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast