KUALA LUMPUR – Aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang berlaku di stesen minyak di Klang dekat sini dikesan dalam serbuan  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNDHEP) pada Khamis lalu.

Pengarah Penguat Kuasa kementerian berkenaan Azman Adam berkata, serbuan pukul 10 malam itu dilakukan berdasarkan risikan yang telah dilakukan sejak beberapa minggu yang lalu.

Ketika serbuan terdapat sebuah lori tangki sedang mengisi minyak diesel di dalam tangki simpanan di stesen minyak berkenaan.

Ujarnya, pemeriksaan mendapati terdapat dua bahagian tangki simpanan yang mengandungi minyak diesel yang dianggarkan berjumlah 5,000 liter.

“Ketika serbuan pemandu lori terbabit baru membuat pengisian minyak berjumlah RM250. Hasil pemeriksaan mendapati, pemandu lori terbabit telah membuat bayaran berjumlah RM1,000 bagi pengisian tersebut secara tunai di stesen minyak terbabit,” katanya menerusi kenyataan.

Azman berkata, pemandu lori yang merupakan lelaki 60 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Penguat kuasa KPDNHEP turut menyita minyak diesel, lori tangki, satu set dekoder kamera litar tertutup (CCTV) dan invois/resit jualan serta belian berserta dokumen-dokumen perniagaan yang lain dari stesen minyak dianggarkan berjumlah RM 74,862.50.

Menurut Azman, susulan serbuan berkenaan kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti
rantaian pengedaran minyak diesel tersebut bermula daripada stesen minyak berkenaan sehinggalah ke peringkat pembeli.

Syarikat stesen minyak itu juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

Tambah beliau, lesen stesen minyak berkenaan digantung sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan.-  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast