Keadaan kereta terbabas terbabas di bahu jalan Kampung Melayu Pulau Carey. Foto Ihsan BOMBA SELANGOR.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta yang dinaiki mereka dipercayai terbabas di bahu jalan di Kampung Melayu Pulau Carey dekat sini awal pagi tadi.

Dalam kemalangan yang berlaku pukul 1.55 pagi itu, mangsa dikenali Muhammad Ezwan Ibrahim, 20, dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa maut di tempat kejadian akibat tercampak keluar kira-kira enam meter dari kenderaan dinaikinya itu.

Katanya, seramai enam anggota termasuk pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Panglima Garang telah bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.

“Keempat-empat mangsa semasa kejadian menaiki kereta jenis Hyundai dan dipercayai terbabas di bahu jalan. Muhammad Ezwan yang duduk di bahagian penumpang hadapan tercampak keluar kira-kira enam meter dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Noor Azam, tiga lagi mangsa yang cedera ringan berjaya dikeluarkan orang awam sebelum pihaknya tiba.

Kesemua mangsa telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. – MalaysiaGazette