Foto Facebook Farizal Marlias.

KUALA LUMPUR – Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias mengesahkan keadaannya semakin baik setelah terlibat perlanggaran ketika perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bharu, Johor pada Ahad lalu.

Perkembangan terkini itu dikongsi menerusi satu hantaran di Instastory miliknya semalam.

Farizal turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakannya termasuk pemilik pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Alhamdulillah, keadaan saya semakin baik. Terima kasih kepada yang mendoakan saya terutamanya keluarga, peminat dan penyokong bola sepak tanah air, keluarga JDT serta seseorang yang sentiasa ada bersama, Tunku Mahkota Johor (TMJ),” tulis penjaga gol utama JDT itu.

Terdahulu, Farizal terlibat dalam insiden mencemaskan di minit ke-60 perlawanan apabila dia berlaga dengan pemain pertahanan JDT, Shane Lowr.

Shane ketika itu cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan pada masa sama Farizal turut ingin menyelamatkan bola.

Susulan kejadian itu, pemain kelahiran Maran, Pahang tersebut dirawat di sebuah hospital dengan pemantauan rapi oleh doktor.

Pengendali JDT, Benjamin Mora turut mengesahkan Farizal Marlias berada dalam keadaan stabil berdasarkan laporan pihak perubatan,

Semalam, Tunku Ismail turut berkongsi di laman Facebook baginda tentang keadaan Farizal ketika menziarahnya di hospital. – MalaysiaGazette