Pekerja kontraktor mengutip sampah menunjukkan bangkai ikan serta sampah di log boom Sungai Pinang di sini.

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Negeri Pulau Pinang melaksanakan pelan tindakan bagi menangani masalah pencemaran dan sampah secara agresif.

Is susulan sebanyak satu tan sampah dipungut setiap hari di ‘log boom’ Sungai Pinang.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, punca pencemaran sungai perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum mencari jalan menangani masalah tersebut.

Meenakshi.

“Antara langkah menangani pencemaran Sungai Pinang yang perlu diambil kerajaan negeri ialah membina longkang selari yang akan memerangkap sampah daripada dihanyutkan ke sungai.

“Langkah itu dan pembersihan sungai boleh membantu mengurangkan jumlah sisa tetapi pencemarannya masih akan menjadi masalah jika kita tidak menghentikan pencemaran di puncanya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari berkata, usaha bagi memungut sampah dan membersihkan sungai sudah dijalankan kerajaan negeri sejak sekian lama, namun masalah itu masih berlarutan.

Ia dipercayai berpunca daripada sikap masyarakat yang masih membuang sampah merata-rata termasuk terus ke dalam sungai.

Mengulas lanjut Meenakshi berkata, pihaknya tidak terkejut dengan jumlah sampah yang dipungut di Sungai Pinang setiap hari.

Katanya, ia adalah isu pembuangan sampah yang sudah lama berlarutan kerana kekurangan tindakan penguatkuasaan yang agresif oleh kerajaan.

“Kita sering mengaitkan tindakan membuang sampah dengan tingkah laku masyarakat tanpa mengetahui sebab mereka berbuat demikian.

“Adakah ini soal kekurangan pendidikan, sikap tidak acuh atau masalah pengurusan pembuangan sisa yang lemah serta infrastruktur tidak mencukupi?

“SAM percaya dengan pendidikan, perancangan pengurusan sisa mencukupi, kemudahan sokongan termasuk pengumpulan barangan yang besar, pelaksanaan yang betul dan penguatkuasaan ketat, masalah pembuangan sampah dapat ditangani,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast