Hit and run Perodua Bezza SKVE driving against traffic accident
Kes Langgar lari dan lawan arus di SKVE yang tular di media sosial semalam.

KUALA LUMPUR – Pemandu Perodua Bezza yang dikatakan terlibat dalam kes langgar lari serta memandu lawan arus di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) tular di media sosial semalam.

Namun polis memerlukan saksi yang menyaksikan kejadian langgar lari meibatkan dua penunggang motosikal yang menjadi mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2. 49 petang semalam apabila penunggang motosikal jenis Honda Dash yang berhenti di lorong kecemasan dari arah Pulau Indah ke Bandar Saujana Putra  dilanggar dari tepi oleh pemandu Perodua Bezza.

Selepas melanggar penunggang berkenaan, kenderaan berkenaan kemudian memandu secara melawan arus di lorong kecemasan seterusnya melanggar seorang lagi penunggang motosikal sehingga tercampak ke permukaan jalan.

“Penunggang motosikal pada mulanya terlihat Perodua Bezza yang berhenti di lorong kecemasan dan kemudian terus memberhentikan kenderaannya di hadapan kenderaan terbabit.

“Tiba -tiba pemandu Perodua Bezza itu bergerak semula lalu melanggar sisi bahagian hadapan motorsikal jenis Honda Dash itu sehingga penunggangnya terjatuh dan mengalami kecederaan ringan di kaki dan tangan.

“Selepas perlanggaran tersebut, Perodua Bezza itu terus bergerak melawan arus di lorong kecemasan dan apabila sampai di KM 30.1 Lebuhraya SKVE menyebabkan dia telah melanggar motosikal jenis Yamaha LC 135 yang sedang bergerak dari arah Banting menghala ke Bandar Saujana Putra.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa tercampak di permukaan jalan dan mengalami kecederaan di kedua-dua tangan dan kaki,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk menerima rawatan.

Sementara itu pemandu Perodua Bezza kemudian ditangkap di hospital selepas dibawa dengan ambulan dari tempat kejadian dan kini ditahan di wad kerana mengalami kecederaan di kepala dan belum direman kerana masih mengalami kecederaan.

Justeru Ahmad Ridhwan meminta saksi yang menyaksikan kemalangan berkenaan tampil membantu pihaknya menjalankan siasatan.

Saksi yang melihat kemalangan berlaku atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan ini bolehlah menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Mereka juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 011-18539115 atau 03-31872222. -MalaysiaGazette