Suar adalah antara objek yang dilarang keras untuk dibawa masuk ke stadium kerana dianggap sebagai objek berbahaya.

KUALA LUMPUR – Aksi sengit Liga Super antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor malam Ahad lalu dicemari dengan insiden pembakaran suar oleh penyokong yang hadir.

Ia dipercayai dilakukan oleh segelintir penyokong JDT berdasarkan kawasan tempat duduk tempat suar dinyalakan.

Insiden itu menimbulkan persoalan ramai peminat bola sepak tempatan kerana suar adalah antara objek yang dilarang keras untuk dibawa masuk ke stadium kerana dianggap sebagai objek berbahaya.

Kebiasaannya, para penyokong akan diperiksa terlebih dahulu di pintu masuk sebelum dibenarkan masuk ke stadium, jadi agak mustahil untuk menyelinap objek seperti suar masuk ke dalam, melainkan terdapat kecuaian daripada pihak yang mengawal pintu masuk.

Manual peraturan Liga Malaysia yang dikeluarkan penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) menyatakan bahawa “sebarang objek merbahaya, bahan letupan, bom asap, mercun, bunga api, minuman dalam botol, alat pemetik api, laser pointer, ‘Vuvuzela’ atau alat bunyi-bunyian seumpamanya atau apa-apa objek yang menyalahi undang- undang Malaysia dan juga peraturan MFL, tidak boleh dibawa masuk ke dalam bangunan stadium”.

Menurut manual itu juga, MFL berhak untuk mengenakan larangan untuk hadir ke stadium ke atas mana-mana individu yang didapati bersalah melanggar peraturan berkaitan yang ditetapkan oleh MFL jika didapati bersalah.

Selain itu, MFL juga boleh mengenakan denda ke atas pasukan yang diwakili oleh pemain, pegawai dan penyokong dengan jumlah yang akan ditetapkan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Untuk rekod, beberapa kelab pernah didenda akibat tindakan penyokong yang tidak bertanggungjawab membakar suar ketika dan selepas perlawanan.

Pada 2015, Jawatankuasa Tatatertib FAM pernah mendenda Pahang FA sebanyak RM10,000 disebabkan kesalahan penyokong membakar suar selepas perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur.

Tindakan yang sama turut pernah diambil ke atas Kedah FA selepas penyokongnya bertindak membakar dan membaling suar ke dalam padang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada tahun yang sama. – MalaysiaGazette