KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mula membaca penyataan saksi ketika prosiding bela diri terhadap 47 tuduhan pecah amanah, rasuah, pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi pagi ini di Mahkamah Tinggi di sini.
Sebelum itu, Ahmad Zahid yang sentiasa tiba awal sekitar 8.55 pagi melambai dan senyum kepada pengamal media di perkarangan mahkamah seperti kebiasaan sambil bersalam dengan para penyokong beliau yang sudah menanti sejak pagi.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO kelihatan tenang ketika mengangkat sumpah sebelum mula membaca penyataan beliau di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Kompleks Mahkamah Jalan Duta juga agak sibuk hari ini dengan kehadiran media dan penyokong parti memandangkan satu lagi kes profil tinggi sedang di bicarakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan pertuduhan pindaan audit 1MDB di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pagi ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir untuk pembelaan rasuah Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 13 APRIL 2022.
Untuk makluman, Ahmad Zahid pada 24 Januari tahun ini memilih untuk membela diri melalui keterangan bersumpah daripada kandang saksi terhadap kesemua pertuduhan terhadapnya yang melibatkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi selepas pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadapnya.
Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta dana Yayasan Akalbudi.
Kes berprofil tinggi itu memakan masa selama hampir tiga tahun dengan mendengar keterangan seramai 99 saksi pendakwaan.
Collin telah menetapkan April, Mei dan Jun tahun bagi mendengar keterangan saksi-saksi pembelaan bagaimanapun tarikh-tarikh itu berubah.
Kini prosiding dijangka berlangsung pada ketetapan 13 dan 15 April, 23-26 Mei, 27-30 Jun, 1, 4-7 Julai, 22, 23, 29 dan 30 Ogos, 19-22 Sept serta 26-29 Sept, 17-20 dan 31 Okt dan 1-3 dan 7-10 Nov. -MalaysiaGazette