Anggota penguat kuasa DBKL menyita barang-barang jualan oleh warga asing di sekitar Pasar Borong. foto FB DBKL

MELUDAH dan melakukan provokasi kepada penguat kuasa yang bertugas adalah sangat keterlaluan, apatah lagi jika pegawai yang bertugas tersebut menjalankan tugasnya dengan penuh baik dan hikmah. Sesiapa pun sebagai manusia, tentunya ingin dihargai, dihormati dan dilayan dengan sebaiknya dan penuh adab. Berbeza dengan situasi yang baru-baru ini tular, dua peniaga warga asing sanggup meludah dan melakukan provokasi terhadap penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kejadian di Pusat Bandar Utama, pada Jumaat lalu.

Penguat kuasa DBKL tersebut dilaporkan sedang melakukan pemeriksaan di kawasan kaki lima berhampiran sebuah bank. Dua warga asing tersebut ketika itu sedang berniaga di kawasan larangan. Justeru, pegawai terbabit bertindak menjalankan tugas dengan menyita barangan mereka. Namun, kedua-dua suspek enggan memberikan kerjasama dan mula melakukan provokasi secara agresif dan menepis tangan anggota penguat kuasa DBKL yang sedang merakam gambar menyebabkan telefon bimbit anggota berkenaan jatuh dan rosak. Mereka juga turut melemparkan kata-kata kesat dan meludah ke arah muka salah seorang penguat kuasa DBKL itu sebelum mengoyakkan baju sendiri dan menuduh bajunya dikoyakkan oleh pihak penguat kuasa DBKL.

Usir warga asing langgar undang-undang

Peguam di Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir, Muhammad Akram Datuk Dr Abdul Aziz berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menguatkuasakan tindakan pengusiran dari negara kepada warga asing yang melanggar undang-undang atau terlibat dengan jenayah. ”Sekiranya perkara itu tidak diselia dari awal, ia dikhuatiri akan memberikan implikasi buruk kepada negara dan mungkin kes-kes sebegini tidaklah banyak jika dibandingkan dengan jumlah warga asing yang ada di negara ini,” ujarnya. Namun menurutnya, ia bukanlah yang pertama dan beliau percaya pihak media juga telah beberapa kali melaporkan kes sebegini. ‘Maka tindakan sewajarnya perlu diambil seawal mungkin untuk mengelakkan perkara ini berulang.

Terdahulu pada 2020, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Ketua Pengarah Imigresen boleh menggunakan perundangan sedia ada untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana warga asing yang ‘tidak dikehendaki’ di Malaysia. ”Tindakan itu selari Seksyen 9 Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap mana-mana majikan atau warga asing sekiranya didapati melakukan kesalahan bertentangan dengan perundangan sedia ada. Ini termasuk tindakan mengusir mereka pulang ke negara asal”.

Adukan kepada DBKL

Sejak tahun lalu, DBKL meneruskan lagi tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga warga asing di sekitar Kuala Lumpur. Tindakan ini akan diteruskan dari masa ke semasa mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang serta SOP DBKL. Menerusi pemantauan dan tindakan susulan terhadap peniaga yang beroperasi di beberapa kawasan di Kuala Lumpur, DBKL telah membuat tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti perniagaan yang dikendalikan oleh warga negara asing.

Berikutan itu, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa. Warga kota yang ingin membuat sebarang aduan boleh menyalurkan kepada DBKL secara dalam talian seperti pautan yang telah disediakan: https://adukl.dbkl.gov.my. Justeru, menerusi portal DBKL sebagaimana memetik katanya, bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna di bandar raya Kuala Lumpur, DBKL sentiasa melakukan pemantauan secara berterusan.

Tegaslah Kerajaan Keluarga Malaysia!

Pihak kerajaan perlu memandang serius insiden yang terjadi ini, apalagi ia berlaku ketika penguat kuasa tersebut sedang menjalankan tugas mereka. Selain itu, saranan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang atau terlibat dengan jenayah perlulah dilaksanakan dengan serius. Jika tidak, boleh jadi pelbagai lagi perkara yang tidak diingini akan terjadi di negara ini hingga boleh mencemarkan imej negara walaupun keselamatan awam semakin baik dengan penurunan kes jenayah 21.4 peratus, menurut statistik jenayah Malaysia pada 2020 berbanding 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Pada tahun 2019 lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah melaporkan sejumlah 42,451 kes jenayah melibatkan warga asing direkodkan dari tahun 2016 hingga Ogos 2019. Kementerian itu menyebut, daripada jumlah berkenaan, antara kes jenayah yang dicatatkan ialah curi dengan 12,647 kes, diikuti pecah rumah dan curi (11,862 kes) dan curi motosikal (4,822 kes).
Dengan usaha gigih dan berterusan pihak Polis Diraja Malaysia, statistik jenayah indeks secara keseluruhan yang melibatkan warga asing menunjukkan penurunan iaitu dari 13,110 kes pada tahun 2016 kepada 11,441 kes pada tahun 2017 dan 10,751 pada tahun 2018.

Maka, bagi mengelakkan angka-angka jenayah dalam kalangan warga asing yang ada di negara ini terus melonjak dan meningkat, pihak kerajaan Keluarga Malaysia sewajarnya mengenakan tindakan yang tegas kepada mereka. Ia penting bagi menyelamatkan sistem sosial khususnya kesejahteraan dan ketenteraman rakyat serta keselamatan awam di negara ini.

Atriza Binti Umar
Pegawai Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Jangan lupa warga migran timah dan getah yang menguntungkan penjajah Inggeris kononnya dah dok lama macam adik-beradik politikus Pak Pandir ooiii! sehingga tanah rizab Melayu kini tinggal 12% lebih kecil berbanding tanah Palestine.

Comments are closed.