Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar serta yang lain bergambar kenangan di hadapan Coop Mart selepas merasmikannya di Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Pudina, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 15 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Perolehan tahunan sektor koperasi menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah RM41.47 billion setakat tahun ini membabitkan 7.04 juta ahli di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan jumlah keanggotaan besar itu, peranan koperasi diiktiraf dalam membantu kerajaan mengurangkan untuk kos sara hidup rakyat.

“Berdasarkan statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), sejumlah 2,581 buah koperasi sektor pemborongan dan peruncitan telah didaftarkan dengan perolehan melebihi RM820 juta.

“Ini menunjukkan koperasi sektor pemborongan dan peruncitan mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan,” katanya berucap pada Pelancaran & Perasmian COOP Community Mart, Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Perdana Menteri percaya gerakan koperasi berupaya untuk menguasai sebahagian pasaran pemborongan dan peruncitan.

“Ia sekaligus dapat menguasai sistem rantaian nilai bekalan barangan keperluan secara pukal dalam ekosistem gerakan koperasi yang komprehensif dan bersepadu.

“Jika kesemua koperasi sektor pemborongan dan peruncitan bergerak secara proaktif dan bersepadu sebagai satu keluarga Malaysia, sudah pasti setiap anggotanya akan menerima manfaat dan peningkatan dari segi taraf sosioekonomi serta impak ini sangat besar kepada ekonomi rakyat dan negara,” katanya.

Tambah Ismail Sabri, sebagai salah satu entiti perniagaan penting dalam menjana ekonomi negara, koperasi dilihat dapat memberi peluang kepada rakyat menjana pendapatan tambahan melalui keanggotaan serta pemilikan saham.

“Koperasi memainkan peranan penting dalam memasarkan produk-produk yang dihasilkan oleh ahli-ahli koperasi tersebut. Keseluruhannya bagi 2021 hingga 2022 sahaja, sejumlah RM16 juta telah diperuntukkan kepada koperasi sektor pemborongan dan peruncitan,” katanya.

Kerajaan turut menyasarkan untuk menubuhkan lebih 500 Coopmart seluruh Malaysia yang akan diusahakan menerusi pelbagai jenis koperasi.

“Coopmart ini capaiannya akan dapat dirasai oleh seluruh keluarga Malaysia terutamanya kawasan luar bandar dan kawasan yang majoritinya merupakan penduduk B40.

“Manfaat dapat dirasai oleh seluruh Keluarga Malaysia, sama ada ahli koperasi, pengguna dan usahawan-usahawan yang terlibat di dalam rantaian bekalan Coopmart,” katanya.

Katanya lagi, kedai Coopmart mampu menjaga kebajikan Keluarga Besar Malaysia khususnya golongan B40 yang semakin meningkat akibat pandemik.

“Dengan harga semakin melambung sejak kebelakangan ini, peranan coopmart ini wajar diberi perhatian untuk membantu meringankan kos sara hidup keluarga Malaysia,” katanya.

Pendekatan Coopmart yang menjurus kepada pendigitalan, kelestarian dan pertumbuhan inklusif dijangka dapat mewujudkan satu garis panduan kepada koperasi sedia ada atau baharu yang ingin menceburi dalam bidang peruncitan.

“Kerajaan di bawah Program Coop Community Mart telah memperuntukkan sejumlah RM360,000 kepada dua koperasi di kawasan Perumahan Rakyat di mana koperasi Pudina Putrajaya Berhad merupakan salah satu penerima manfaat.

“Program ini juga akan diteruskan di kawasan Perumahan Rakyat Hiliran Ampang bagi membangunkan Coopmart,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast