Takiyuddin Hassan dan Saarani Mohamad memuktamadkan dokumen Prosedur Operasi Standard Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (SOP NR-REE) Di Negeri Perak hari ini.

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bersama Kerajaan Negeri Perak menjalinkan kerjasama dalam membangunkan projek perintis perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak, Perak Darul Ridzuan.

Cadangan perlombongan di tapak projek perintis ini merupakan inisiatif kerajaan dalam memastikan aktiviti perlombongan NR-REE dijalankan secara cekap dan teratur melalui SOP yang dibangunkan sebelum ia diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dokumen SOP NR-REE ini telah dibangunkan secara komprehensif melibatkan penelitian pada peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri.

Ia turut dinilai sebuah jawatankuasa eksekutif yang dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang perlombongan, hidrologi, hidrogeologi dan pembangunan lestari sebelum dipersetujui di peringkat Jemaah Menteri pada 2 Disember 2021.

Selain itu, KeTSA juga telah menganjurkan sesi pendengaran awam mengenai SOP Aktiviti Perlombongan NR-REE Di Negeri Perak yang diadakan pada 19 Disember 2021 bagi mendapatkan maklum balas daripada pihak-pihak berkepentingan berhubung SOP yang telah dibangunkan.

”Di samping pembangunan di peringkat huluan, KeTSA juga sedang meneliti potensi untuk membangunkan peringkat pertengahan dan hiliran bagi industri NR-REE bagi memastikan potensi ekonomi dapat direalisasikan sepenuhnya dan tidak hanya bergantung kepada pengeksportan mineral mentah,” katanya pertemuan dengan Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak hari ini.

Pengwujudan SOP ini diharapkan agar aktiviti perlombongan NR-REE yang bakal dijalankan di Malaysia khususnya di Negeri Perak dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan agar kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara. – MalaysiaGazette