Masyarakat Orang Asli menunjukkan pelan dusun mereka dan merayu hak mereka berkaitan tanah adat yang belum diwartakan dapat didengari di Kampung Orang Asli Gurney Ulu Yam, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 14 APRIL 2022.

HULU YAM – Penduduk di Kampung Orang Asli Gurney di Batang Kali di sini pihak berwajib segera mewartakan tanah yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Gurney, Meri Liew Pong, 36, berkata, mereka kini ibarat melukut di tepi gantang apabila pemohonan pewartaan tanah adat  sejak 2017 masih buntu sehingga sekarang.

“Bulan lepas, semasa saya sedang membersihkan dusun di sini ada pegawai Jabatan Hutan datang dan menegur saya. Katanya tidak kita tidak boleh buat pembersihan di sini sebab ini tanah Jabatan Hutan. Saya sebagai Orang Asli memang saya pertahankan isu ini.

“Saya tegaskan bahawa ini tanah Orang Asli yang diwarisi sejak turun-temurun nenek moyang saya. Saya tidak menceroboh hutan tapi dia minta saya untuk pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sebagai wakil Orang Asli. Bagaimana saya nak buat?

“Sekiranya nak mohon, di mana saya nak rujuk berhubung isu sini tanpa perlu melalui JAKOA tapi pegawai itu kata tidak boleh. Sebagai Orang Asli perlu melalui JAKOA juga. Kita pernah mohon tapi tiada jawapan sehingga kini,” katanya ketika melawat ke Dusun Buluh Minyak.

Meri Liew Pong. Foto MUHD NA’IM, 14 APRIL 2022.

Bagi Meri, tindakan Jabatan Hutan Negeri itu seperti menafikan hak orang asli di kawasan berkenaan dalam menjana ekonomi seperti masyarakat lain untuk pertanian mahupun pelancongan.

“Kami sebagai Orang Asli pun manusia juga, ingin berjaya sama seperti orang di luar sana. Kami ingin jalankan ekonomi di sini seperti tanam pokok getah, sawit, durian dan sayur-sayuran tetapi kami hanya dibenarkan ambil hasil sahaja dari dusun kami.

“Dekat sini ada sungai dan taman peranginan, kami juga bercadang ingin memajukan sektor pelancongan untuk tarik orang ramai datang kenali tempat tinggal dan budaya kami sebagai Orang Asli.

“Jangan tindas kami macam ini, sebab ini tanah turun -temurun kami, bukan baru mewarisi. Saya rasa Orang Asli ini seperti merempat di negara sendiri.

“Sekarang ini, pihak jabatan tidak benarkan orang luar masuk hanya Orang Asli sahaja. Kami sudah hilang sumber pendapatan sebab hutan adalah tempat kami,” ujarnya.

Masyarakat Orang Asli sedang membersihkan kebun mereka dan merayu agar hak mereka berkaitan tanah adat yang belum diwartakan dapat didengari di Kampung Orang Asli Gurney Ulu Yam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 14 APRIL 2022.

Rata-rata masyarakat di Kampung Orang Asli Gurney adalah suku Temuan dan jumlah penduduk yang menetap di situ hampir 300 orang.

Tegas Meri, tuntutan mewartakan tanah adat itu dibuat adalah untuk menjaga hak orang asli di kawasan ini ditambah jumlah kepadatan penduduk yang semakin meningkat.

“Kita nak hak untuk anak cucu kita akan datang sebab utamanya adalah kawasan yang kami tinggal kini semakin padat. Saya boleh tinggal di kampung itu sekarang tapi macam mana dengan anak dan generasi kami akan datang untuk tinggal?

“Sebab itu kami ingin mendapatkan hak dusun yang diwarisi nenek moyang kami. Bebas untuk buat rumah dan menjana ekonomi tanpa ada sebarang halangan dari mana-mana pihak. Hutan adalah tempat kami,” katanya.

Pengasas SP Care Group, Dr Sathia Prakash Nadarajan bercakap pada media berkaitan tanah adat yang belum diwartakan dapat didengari Kampung Orang Asli Gurney Ulu Yam di Wisma SP Care di Laman Gapimas, Serendah, Selangor, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 14 APRIL 2022.

Sementara itu, Pengasas SP Care, Dr. Sathia Prakash Nadarajan yang sering membantu kebajikan masyarakat Orang Asli berkata, perkara tidak boleh dipandang enteng oleh semua pihak kerana mereka masih mempunyai hak yang perlu dipertahankan.

“Apabila saya mendengar masalah yang dihadapi masyarakat Orang Asli ini, saya amat terkejut dan tidak sangka ingatkan selama ini rakyat Malaysia hidup sama rata tanpa ada sebarang masalah.

“Kita seharusnya perlu faham dan memahami bahawa tanah adat ini perlu diwartakan kerana ia merupakan hak mereka yang sudah diwarisi lebih 100 tahun dulu. Jadi pihak yang terlibat harus mendengar dan melihat isu ini dengan serius,” katanya.

Sathia seterusnya berharap isu yang sama akan mendapat perhatian segera kerajaan negeri demi memastikan nasib Orang Asli di kawasan itu terbela. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast