KUALA LUMPUR – Usahawan sensasi Sajat berbangga dia sudah memiliki pasport Australia selepas mendapat kelulusan penukaran jantina sebelum ini.
Pemilik nama penuh Muhammad Sajjad Kamaruzaman itu menjelaskan, dengan pasport berkenaan, dia kini boleh menjalankan urusannya di luar negara seperti melancong.
Namun, menurutnya, dia masih tidak boleh pulang ke Malaysia.
“Terima kasih kerajaan Australia. Akhirnya saya memiliki dokumen perjalanan (pasport). OMG gembiranya, dapat terbang ke awan biru.
“Sajat bolehlah terbang business trip dalam masa terdekat ini… tapi kalau nak balik Malaysia tu, memang tak boleh,” tulisnya di media sosial.
Sajat menjadi buruan selepas gagal menghadiri prosiding Mahkamah Syariah di mana dia didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 atas tuduhan menghina atau sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada majlis bacaan Yasin dan solat hajat pada 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion di Seksyen 16, Shah Alam.
Sebelum ini dilaporkan Sajat telah memohon status pelarian dari pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Bangkok.
Dia berpindah ke Australia pada Oktober tahun lalu.
Pada hantaran sama, Sajat sedia maklum mengenai keadaan kesihatan ayahnya yang kurang baik sejak minggu lalu.
Namun menurutnya, dia hanya mampu membuat panggilan video serta mengirimkan duit belanja buat ahli keluarga yang tinggal di Malaysia.
“Apa-apa pun, Kak Long dan mak selalu kemas kini pasal ayah saya… doakan baik-baik untuk keluarga saya… Saya berharap semuanya okay.
“Dan saya dapat pasport ini pun, saya nak travel untuk business trip saya, memandangkan bulan 5 atau 6 ini kedai saya akan mula beroperasi.
“Kerja tetap kerja… hidup perlu diteruskan… untuk rezeki anak dan keluarga tercinta saya,” tambahnya. – MalaysiaGazette