Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin memeriksa telur yang dipercayai palsu dengan membezakan bersama telur yang sebenar ketika di Pejabat Malaysia Gazette. Foto MOHD ADZLAN, 16 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Telur tiruan ada dalam pasaran negara ini?

Itu persoalan seorang pembaca yang menghubungi MalaysiaGazette berkongsi rasa hairan terhadap telur yang dibeli dari sebuah kedai pembekal bahan membuat kek di sini baru-baru ini.

Katanya, telur tersebut kelihatan pelik, tidak mempunyai bau telur selain teksturnya yang berbeza dengan telur biasa.

Lebih mengejutkan apabila digoreng, telur tersebut kembang umpama bunga manakala tekstur telur tersebut menjadi liat umpama getah atau lilin apabila direbus.

Perbezaan warna telur yang dipercayai palsu lebih ke kuningan berbanding telur yang sebenar selepas Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin kualiti telur tersebut di Pejabat Malaysia Gazette. Foto MOHD ADZLAN, 16 APRIL 2022.

Susulan daripada aduan tersebut, MalaysiaGazette menghubungi Pasukan Penguatkuasa Kementerian Hal Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mendapatkan maklum balas.

Pengarah Penguatkuasa, Ariffin Samsudin yang datang ke pejabat MalaysiaGazette melihat sendiri telur tersebut membuat perbandingan dengan telur ayam yang dibeli dari kedai biasa.

Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin memeriksa telur yang dipercayai palsu dengan membezakan bersama telur yang sebenar ketika di Pejabat Malaysia Gazette. Foto MOHD ADZLAN, 16 APRIL 2022.

“Apa yang ketara kita nampak adalah perbezaan warna tapi kita pun tak boleh nak kata ia palsu buat masa ini, mungkin ada faktor lain seperti mutasi dan sebagainya.

“Kita akan hantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan terlebih dahulu,” katanya selepas membuat perbandingan tekstur telur-telur terbabit.

Jelas Ariffin, sekiranya Jabatan Kimia mengesahkan telur itu palsu, tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 akan dikenakan terhadap penjual tersebut.

KPDNHEP juga, katanya, boleh mengambil tindakan denda maksimum RM250,000 ke atas penjual yang melakukan kesalahan kali pertama di bawah Seksyen 5 (APD) 2011, dan RM500,000 bagi kesalahan kali kedua.

“Cuma saya harap masyarakat dapat bertenang. Jangan panik kerana ia belum dapat dipastikan sama ada telur itu palsu atau tulen,” katanya.

Beliau berkata demikian menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam membuat pembelian terutama menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri Mei ini.

Telur yang menimbulkan tanda-tanya itu dijual pada harga RM13.30 sepapan untuk gred B.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast