Wan Mohd Zahari Wan Busu

KUANTAN – Dua lelaki yang bekerja sebagai kontraktor antara individu yang ditahan dalam Op Samseng yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisoner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kedua-dua lelaki berkenaan berusia 26 dan 39 tahun ditahan di Indera Mahkota 7, Kuantan pada tengah malam tadi.

“Melalui risikan, pihak polis mendapati dua buah pikap jenis Nissan Navara dan Mitsubishi Tritton dalam keadaan selari telah membunyikan deruan enjin disyaki bertujuan mencuba kelajuan.

Dua pemandu trak pikap yang ditahan dalam Op Samseng yang dijalankan oleh BSPTD Kuantan pada tengah malam tadi

“Pengadu telah dapat camkan suspek pemandu trak pikap yang terlibat dalam aktiviti menduga kelajuan tersebut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Jelas Wan Mohd Zahari, kedua-dua kenderaan suspek telah memecut laju ke arah Jalan Beserah, Kuantan  secara zig-zag sebelum ditahan oleh pegawai Unit Risikan dan Operasi di kawasan parkir Indera Mahkota 7.

Kedua-dua suspek telah ditahan dan disiasat di bawah  Seksyen 81 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menduga kelajuan secara tidak sah.

Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam operasi selama lapan jam yang diketuai oleh Inspektor Faizal Basri bersama lima anggota turut memeriksa 60 buah kenderaan. – MalaysiaGazette