Uthaya Sankar SB

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas mendesak Uthaya Sankar SB memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam selepas didakwa memuat naik hantaran menghina Nabi Muhammad SAW di Facebook miliknya.

Ketua Penerangannya, Nadzir Helmi berkata, tindakan Utaya bukan sahaja biadap malah telah mencemari kesucian Ramadan ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.

“Tindakan ini sangat tidak sensitif terhadap umat Islam, menggambarkan sikap ekstrem dan tidak menghormati perpaduan serta keharmonian masyarakat majmuk yang menjadi tunjang pembinaan negara kita.

“Apakah beliau ini tidak tahu atau buat-buat tidak tahu, apa yang dikatakan beliau itu adalah suatu fitnah jahat dan penghinaan buat umat Islam?

“Pemuda Pas berasa jelek dengan kebiadaban ini, dan mendesak Uthaya Sankar menghormati umat Islam Malaysia serta memohon maaf atas kebiadabannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nadzir Helmi

Sebelum ini, Uthaya pada 8 April lalu memuat naik laporan mengenai pelakon Iman Zulkarnain yang serik berpoligami dan berpesan kepada kaum lelaki agar tidak mencari penyakit.

Uthaya berkata demikian merujuk kepada laporan Malaysiakini pada 6 April lalu yang memetik Iman Zulkarnain akhirnya akur tidak mampu hidup berpoligami.

Dalam hantaran itu, Utaya berkata, dalam soal poligami, sepatutnya Iman Zulkarnain mengikuti Sunnah Rasulullah.

Utaya turut mendakwa Muhammad mempunyai kekuatan 30 lelaki dan mampu meniduri iaitu menjalinkan hubungan seks bersama hampir sembilan isterinya dengan sekali mandi.

Dalam pada itu, Nadzir berkata, walaupun Nabi Muhammad dan Islam dihina penulis itu, namun parti Islam itu tidak akan bertindak melampaui batas sepertimana yang berlaku di negara luar seperti India.

“Sewajarnya beliau disiasat menurut Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 atas tindakan melampau ini.

“Pemuda PAS menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak berkuasa dalam menentukan hukuman yang setimpal terhadap individu yang biadap ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette