Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Seperti yang dianggarkan, bukan semua pencarum memohon untuk mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki.

Sebaliknya, hanya RM40.1 bilion sahaja.

Jumlah itu, katanya mewakili kira-kira 4% daripada jumlah aset pelaburan KWSP.

Asyraf Wajdi berharap KWSP mempermudahkan pengeluaran sebelum sambutan Aidilfitri bagi mengurang beban rakyat yang mahu segera melangsaikan segala komitmen dan hutang tertunggak mereka.

”Buat semua 5.3 juta yang bakal mengeluarkan wang simpanan mereka, manfaatkanlah sebaiknya secara berhemah. Bagi mereka yang mempunyai lebihan tunai, salurkanlah wang ke dalam KWSP kembali untuk membina simpanan masa depan,” katanya.

Semalam, KWSP berkata, setakat jam 8 malam pada 14 April 2022, sebanyak 5.3 juta permohonan telah diterima di bawah kemudahan Pengeluaran Khas setelah ia dibuka kepada ahli pada 1 April 2022.

Ini bersamaan dengan amaun pengeluaran berjumlah RM40.1 bilion.

Menurut KWSP, pembayaran akan dibuat secara berperingkat, di mana pembayaran pertama akan bermula pada 20 April
2022.

Katanya, jumlah permohonan yang diterima merangkumi 44% daripada 11.95 juta ahli yang layak untuk membuat pengeluaran di bawah kemudahan ini yang mewakili 55% ahli B40 yang layak (yang berpendapatan kurang daripada RM1,700), 59% ahli M40 (RM1,701 – RM4,900), dan 39% ahli T20 (berpendapatan melebihi RM4, 900).

Sebanyak 29% ahli tidak formal 1 dan tidak aktif 2 juga telah memohon.

Kaum Bumiputera Melayu merangkumi jumlah pemohon mengikut kaum tertinggi pada 65%, diikuti oleh kaum Cina pada 12%, dan kaum India pada 7%. Jumlah 17% selebihnya adalah terdiri daripada kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak, dan bukan warganegara.

Berdasarkan maklum balas daripada ahli yang memohon kemudahan ini, tiga sebab utama permohonan termasuk mengalami pengurangan pendapatan (24%), membantu pasangan atau ahli keluarga yang terjejas kewangan (23%), dan menambah sumber kewangan (14%); manakala tujuan pengeluaran adalah untuk menampung perbelanjaan keperluan asas harian/ bulanan
(40%), membayar tunggakan hutang (26%), menambah simpanan/ dana kecemasan (8%), dan membantu ahli keluarga yang terjejas kewangan (7%), dengan 27% selebihnya membayar pendidikan anak-anak, perbelanjaan lain dan pelaburan. – MalaysiaGazette