Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Pendekatan ‘Khemah Besar’ yang dianjurkan Parti Amanah Negara (Amanah) tidak akan disertai UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pas, kata Presidennya, Mohamad Sabu.

Sebaliknya, kata beliau, pendekatan itu khusus untuk parti politik Pakatan Harapan (PH) sahaja.

Katanya, Amanah menghormati dan meraikan perbezaan pandangan pelbagai pihak mengenai pendekatan ‘Khemah Besar’ sebagai pendekatan politik PH untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kefahaman yang tepat berhubung pendekatan ‘Khemah besar’ anjuran Amanah ini adalah perlu sebelum satu perbincangan bermakna dapat diadakan.

“Kita nak mengulangi penegasan bahawa ‘Khemah Besar’ yang dimaksudkan ini adalah soal penyatuan dan kerjasama parti pembangkang bagi menghadapi PRU ke-15.

“Pendekatan ‘Khemah Besar’ tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti yang berada dalam kerajaan sama ada UMNO, PPBM atau Pas,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau yang dikenali sebagai Mat Sabu menjelaskan, tidak mungkin sama sekali PH akan bekerjasama dengan parti pengkhianat yang jelas telah mengkhianati amanah dan mandat rakyat.

Beliau menegaskan, golongan pengkhianat adalah mereka yang melompat untuk bersama PPBM dan Perikatan Nasional (PN) atas sebab tawaran yang dibuat pada ketika itu.

“Jadi, tidak wajar kita menyamakan kumpulan yang telah melompat dengan kumpulan yang tidak melompat.

“Seperti mana tidak wajar kita anggap PKR sebagai parti pengkhianat atas sebab Timbalan Presidennya dan belasan Ahli Parlimennya melompat.

“Begitu juga tidak wajar kita namakan parti Pejuang, Warisan dan MUDA sebagai pengkhianat atas sebab pengkhianatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PPBM,” ujarnya.

Menurut Mat Sabu, sebagai parti politik yang hendak menunaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat dengan mengusahakan kemenangan dalam PRU ke-15, persoalan menyatukan pembangkang adalah perlu.

Katanya, untuk ke arah itu, Amanah akan berusaha memperbanyakkan kawan demi menghadapi lawan yang sama iaitu Barisan Nasional (BN) dan juga PN.

“Bagi yang membuat keputusan bahawa PRU ke-15 tidak akan dimenangi, usaha begini sememangnya tidak perlu. Usaha untuk kalah adalah jauh lebih mudah dari berjuang untuk menang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. PANkhianat …P akatan H ancing P unah H arapan lagak seperti hidung tidak mancung pipi disorong..orang makan ROJAK mereka makan Kapur….orang tidak AJAK mereka masuk CAMPUR

Comments are closed.