Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah bercakap pada sidang media Pelantikan Jawatankuasa Belia Untuk Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi, Majlis Belia Negara di Wisma Putra, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 18 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri berusaha untuk berbincang dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha mengelak kejadian serangan Israel terhadap penduduk Palestin di Masjid Al Aqsa tidak berulang.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, mewakili kerajaan, beliau khuatir kejadian serangan oleh Israel pada bulan Ramadan tahun lalu terhadap umat Islam di negara berkenaan berulang sehingga meragut nyawa.

“Saya mengulangi kenyataan yang telah dibuat Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan saya berkaitan insiden yang dilakukan berkaitan kekasaran dan kezaliman dilakukan pihak berkuasa Israel terhadap sekumpulan umat Islam yang beribadah di Masjid Al-Aqsa pada Jumaat lalu.

“Kita sedang mengusahakan berurusan dengan OIC supaya jangan berulang lagi yang kita bimbang kalau pihak berkuasa Israel buat lagi jadi macam tahun lalu dan ia berpanjangan. Ramai yang akan terkorban  dan cedera,” katanya ketika sidang media di pejabat Kementerian Luar hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin menyifatkan kekasaran dan kezaliman yang dilakukan Israel terhadap penduduk Islam di negara berkenaan tidak akan membantu keamanan.

“Kekasaran yang dilakukan tidak membantu keamanan negara itu,” tambahnya.

Terdahulu beliau berkata, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menghulurkan bantuan kepada umat Islam di Palestin menerusi Infaq Aqsa yang telah bergerak ke negara berkenaan semalam.

Sebagai rekod, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim zionis ke atas penduduk awam dan jemaah Palestin di Masjid Al Aqsa pada dua hari lalu.

Pendirian tersebut dinyatakan Perdana Menteri susulan peningkatan keganasan di wilayah Palestin yang diduduki Israel.

Katanya, serangan ke atas salah sebuah masjid paling suci bagi umat Islam dan pada Ramadan menunjukkan keganasan berlanjutan dan dasar aparteid yang diamalkan Israel terhadap rakyat Palestin.- MalaysiaGazette