Gelagat orang awam menunggang e-skuter di atas jalan raya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Tasik Perdana, Cyberjaya. Foto MUHD NA'IM, 17 APRIL 2022.

CYBERJAYA – Sekumpulan pengguna e-skuter di Taman Tasik Perdana dekat sini dilihat seakan-akan mmenempah maut’ apabila menjadikan jalan raya tempat gelanggang mereka.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, kebanyakan penunggang e-skuter berkenaan bermain tanpa tidak menghiraukan keselamatan mereka dan pengguna jalan raya yang lain.

Lebih menggerunkan apabila terdapat sekumpulan remaja yang ‘berani’ menampilkan aksi berbahaya dengan melawan arus secara berkumpulan sambil bersimpang siur memenuhi ruang jalan raya tersebut.

Ibu membawa anak mereka dengan menunggang e-skuter di tengah jalan sehingga membahayakan keselamatan dan pengguna jalan raya yang lain ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Tasik Perdana, Cyberjaya. Foto MUHD NA’IM, 17 APRIL 2022.

Lensa MalaysiaGazette juga sempat merakam ‘gelagat’ ibu bapa yang sanggup mempertaruh nyawa anak mereka apabila menunggang bersama di tengah-tengah jalan raya.

Seorang penduduk dari Dengkil yang ingin dikenali sebagai Malek berkata, dia yang selalu bersenam di sini dan mendapati aktiviti riadah baharu itu muncul sekitar minggu lepas.

“Saya setiap pagi dan malam selalu berjoging kawasan ini, tak kisah sama ada kanak-kanak, remaja atau orang dewasa, memang selalu sangat nampak mereka main sampai ke tengah jalan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Ketika sedang menemuramah, wartawan MalaysiaGazette dikejutkan dengan bunyi hon kenderaan apabila ada pengguna e-skuter bertindak menunggang di lorong kanan ketika kereta banyak di atas jalan raya.

Beberapa pengguna e-skuter menunggang di lorong kanan jalan raya sehingga membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Tasik Perdana, Cyberjaya. Foto MUHD NA’IM, 17 APRIL 2022.Sepanjang pemerhatian, wartawan MalaysiaGazette urut dada apabila melihat keberanian luar biasa penunggang e-skuter yang bermain tanpa mengendahkan keselamatan masing-masing.

Lebih-lebih lagi, di selekoh jalan yang mengehadkan penglihatan pemandu lain.

Walaupun dilengkapi dengan lampu tiang di sekitar kawasan berkenaan, namun rimbunan pokok-pokok besar di situ menjadikan sebahagian pencahayaan di selekoh jalan tersebut agak malap.

Tinjauan MalaysiaGazette bermula jam 8 malam hingga 11 malam itu mendapati, ada beberapa pengguna menaiki e-skuter melebihi seorang sehingga dilihat melelong akibat hilang keseimbangan.

Dua penunggang e-skuter menggunakan jalan raya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Tasik Perdana, Cyberjaya. Foto MUHD NA’IM, 17 APRIL 2022.

Ada kumpulan e-skuter yang mendominasi kawasan itu tanpa rasa bersalah menggunakan lorong motosikal.

Bukan itu sahaja, lensa MalaysiaGazette turut merakam aksi berbahaya kumpulan pengguna e-skuter yang cuba menyeberang jalan walaupun terpaksa meredah laluan kanan di jalan bertentangan mereka.

Keberanian pengguna ini menimbulkan persoalan memandangkan penggunaan skuter elektrik di atas jalan raya atau kawasan selain yang digazetkan adalah dilarang dan tindakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 boleh dikenakan terhadap individu yang ingkar.

Tambahan pula, penggunaan e-skuter ini ternyata menganggu orang ramai terutama pemandu-pemandu lain. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. SEPERTI BERLAKU KORBAN BASIKAL LAJAKKK…..SEMUA PIHAK AKAN MENYALAHKAN YANG MELANGGAR…TIDAK MENYALAHKAN YANG ADA BODOH SOMBONG dan BAHAYAKAN DIRI DAN ORANG LAIN

Comments are closed.