KUALA LUMPUR – Kenaikan harga barang dan makanan khususnya juadah yang dijual di Bazar Ramadan di Lembah Klang sudah pun dirasai pengguna, kini rakyat mula berdepan dengan kenaikan harga tiket bas ekspres menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Kenaikan antara 10 hingga 20 peratus dijangka berlaku sepanjang tempoh sah laku Lesen Perubahan Sementara (LPS) bermula 29 April hingga 8 Mei ini bakal dirasai ribuan penumpang khususnya umat Islam yang tidak dapat beraya sejak dua tahun lalu akibat Covid-19.
Ia susulan kebenaran pulang berhari raya oleh kerajaan menerusi fasa peralihan ke endemik dan pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu.
Tinjauan MalaysiaGazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini, hari ini mendapati kaunter-kaunter tiket bas ekspres masih terkawal meskipun orang ramai kelihatan silih berganti datang membeli tiket untuk pulang ke kampung halaman bermula minggu hadapan.
Menurut Mohd Shahir Ahmad Dewi, 35, meskipun kurang 15 hari umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, namun harga tiket bas ekspres ke Johor yang dibelinya masih tiada kenaikan malah ada potongan harga.
“Setakat ini harga tiket bas ekspres tidak naik, sebelum ini harga dia memang RM35.40 (TBS ke Johor).
“Sekarang harga tiket RM32.40, bagi saya harga ada sedikit pengurangan sepanjang saya naik bas di TBS.
“Saya beli tiket di mesin kiosk, memang harga murah macam itu, saya tengok tiada peningkatan harga setakat ini,” katanya.
Menjelang hari raya pula, dia sendiri akan membeli tiket di kaunter-kaunter bas ekspres untuk melihat sendiri sebarang kenaikan harga khususnya pada saat akhir sebelum cuti panjang.
“Saya berterima kasih kepada pihak kerajaan yang masih mengekalkan harga tiket bas malah ia melegakan.
“Untuk persiapan balik kampung hari raya belum lagi, selepas ini saya akan beli tiket di kaunter, saya nak tengok harga kaunter macam mana,” katanya ketika ditemui di balai pelepasan TBS, hari ini.
Bagi Wan Muhammad Amir Wan Mohd Deni, 25, tambang bas ekspres hanya ditentukan melalui jenis bas dan waktu perjalanan ke destinasi yang dituju.
“Sejak lima tahun lepas, tiket balik ke Kuantan berharga dalam lingkungan RM23 hingga RM24, mengikut jenis bas dan paling mahal saya naik pun RM26.
“Untuk tiket bas saya balik ke Kuantan hari ini pun berharga RM22 dan bagi saya harga ini masih dalam lingkungan harga yang memuaskan dan berbaloi.
“Saya beli tiket bukan sebab jenis bas, saya pilih ikut masa, sebab saya bekerja, ada bas ini jam 2 petang, ada satu lagi 9.30 malam,” katanya.
Tambahnya, dia hanya akan menggunakan aplikasi TBS di telefon pintar kerana tidak perlu bersesak dengan orang ramai di kaunter hingga memakan masa yang panjang.
“Setiap kali saya balik kampung, saya memang menggunakan aplikasi TBS.
“Sejak dua tiga tahun lepas kalau kita beli tiket dekat kaunter, tahu sahaja beratur panjang
“Untuk kita jimat masa kita guna aplikasi lagi senang,” katanya.
Ditanya tentang kenaikan kadar tambang bas antara 10 hingga 20 peratus menjelang hari raya ini, dia tidak menafikan ia agak membebankan orang ramai.
“Bagi saya untuk orang yang naik bas ini kebanyakannya boleh dikatakan daripada golongan B40, mungkin akan terjejas, kenaikan itu agak tinggi,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang suri rumah, Sofiah Barun, 54, kenaikan itu sangat membebankan, apatah lagi dia sentiasa berulang-alik dari Kota Tinggi, Johor ke sini untuk mendapatkan rawatan di hospital setiap bulan.
“Harga tiket ada naik, setiap bulan saya memang naik Kuala Lumpur sebab ada buat pemeriksaan lutut, dulu biasa beli dalam RM23, sekarang RM27 malah tiket yang saya beli sekarang dah cecah RM30.
“Dengar cerita raya naik lagi, kenaikan tambang bas ini memang terasa, tambah pula saya ini tidak bekerja dan golongan B40, tiap-tiap bulan kena naik Kuala Lumpur,” katanya.
Sofiah juga berharap agar kerajaan dapat mengekalkan kadar lama bagi memberi peluang kepada umat Islam berhari raya di kampung halaman tanpa membebankan kos sara hidup mereka.
“Kalau boleh harga tiket macam biasa seperti dulu, kalau tidak susah juga, orang lain yang nak pergi Johor atau Kuantan mesti mengeluh, bajet mereka tak cukup.
“Kerajaan kena prihatin, kalau boleh tambang bas minta diturunkan sikit tambah pula tahun ini orang baru dapat beraya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette