Kanak-Kanak warga asing etnik Rohingya kelihatan bermain susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 MEI 2020

3D, itulah akronim umum terhadap sektor pekerjaan 3D Dirty, Dangerous, Difficult (kotor, bahaya, sukar). Sebenarnya sektor ini merupakan sektor yang tidak kurang pentingnya kepada pembangunan negara. Tidak boleh dibayangkan jika ekonomi yang dijana melalui perniagaan membangun dengan pesat tetapi tiada pekerja untuk menjaga kebersihan. Begitu banyak kawasan perumahan dibuka tetapi tidak ada pekerja yang sanggup membahayakan diri untuk memastikan sistem pembentungan berfungsi. Pelbagai infrastruktur yang tinggi melangit ingin dibina tetapi tiada pekerja yang sanggup membahayakan nyawa untuk melaksanakan pembinaannya. Oleh itu, tenaga kerja yang ramai sebenarnya diperlukan oleh sektor 3D negara. Maka, golongan pelarian yang berada di Malaysia boleh dimanfaatkan untuk membantu pihak kerajaan dan swasta di dalam merealisasikan agenda pembangunan negara.

Lambakan pelarian yang tidak dioptimumkan

Statistik daripada badan antarabangsa UNHCR pada Januari 2022 menunjukkan terdapat sejumlah 181,510 orang pelarian dan pencari suaka yang berlindung di Malaysia. Jumlah ini adalah ramai dan jika dipadankan dengan daftar pemilih pilihanraya tahun 2021, jumlah pelarian dan pencari suaka mengatasi keseluruhan pengundi berdaftar bagi negeri Perlis iaitu seramai 149,932 orang sahaja bagi ketiga-tiga kawasan Parlimen. Walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967, namun jumlah pelarian yang berada di negara ini semakin meningkat saban hari. Kerajaan Malaysia yang prihatin tetap menyantuni mereka dengan menggunakan kerangka perundangan antarabangsa yang lain iaitu Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) 1948. Menandatangani deklarasi ini bermakna kerajaan sangat komited untuk mempertahankan isu kemanusiaan dan keselamatan insan.

Selain itu, kerajaan juga mempunyai komitmen kepada prinsip non-refoulement iaitu tidak boleh menghantar mana-mana insan ke negara asal ketika ada ancaman bunuh di negara mereka sendiri. Hal ini menjustifikasikan peningkatan jumlah pelarian dan pencari suaka yang dilindungi di negara Malaysia. Namun, apabila kumpulan pelarian dan pencari suaka sudah berada di negara ini, timbul pula isu kebajikan dan kemandirian hidup. Adakah mereka hanya perlu bergantung harap kepada bantuan daripada kerajaan, swasta dan pertubuhan sivil sahaja.

Maka, kumpulan pelarian dan pencari suaka ini perlu dioptimumkan sebagai tenaga kerja bagi sektor-sektor yang kurang atau tidak digemari oleh rakyat tempatan. Walau bagaimanapun, tidak wajar menuduh dan menunding jari atau memberikan apa-apa label kepada rakyat tempatan yang tidak berminat dengan skim pekerjaan 3D dan berkemahiran rendah. Hal ini kerana majoriti rakyat tempatan mempunyai kelayakan akademik dan soft skills yang lebih tinggi. Adalah lebih sesuai kepakaran mereka ini digunakan bagi sektor-sektor yang berkemahiran tinggi dengan bayaran yang lebih tinggi.

Daftar sebagai tenaga kerja, kurangkan beban kerajaan, hapuskan ekonomi ‘gelap’

Walaupun kerajaan hanya membenarkan golongan pelarian yang mempunyai kad UNHCR bekerja di sektor seperti perladangan dan perkilangan, namun telah menjadi rahsia yang diketahui umum bahawa kumpulan pelarian juga telah bekerja di sektor-sektor lain seperti menjadi buruh di pasar-pasar dan menjadi pembantu rumah. Bahkan ramai yang telah mendapat perkhidmatan dari ‘bekas tangan’ golongan pelarian dan pencari suaka politik. Namun, mereka yang bekerja luar dari dua sektor yang diberi keizinan kerajaan ini sebenarnya terdedah kepada exploitasi dan diskriminasi. Hal ini kerana mereka tidak didaftarkan sebagai pekerja yang sah. Maka, bergantunglah kepada nasib dan takdir, jika dapat majikan yang tulus hatinya terbela kebajikan dan boleh berlaku sebaliknya.

Selain mengelakkan eksploitasi dan diskriminasi, membenarkan pelarian bekerja di sektor 3D dan berkemahiran rendah dapat meringankan beban kewangan kepada kerajaan. Dalam kajian penulis, sekurang-kurangya kerajaan perlu berbelanja antara RM60-RM70 sehari atau lebih tinggi dari jumlah ini bagi setiap orang untuk menampung kos-kos menguruskan pelarian di kem-kem tahanan sementara. Sebolehnya kos seperti ini tidak perlu ditanggung kerajaan sedari awal lagi. Umpamanya, menolak semula kapal-kapal yang membawa pelarian ke lautan.

Jika kerajaan bersimpati maka tidak perlu menahan dengan begitu lama di kem-kem tahanan sebaiknya didaftarkan dengan segera dan lepaskan ke dalam sektor ekonomi 3D untuk mereka bekerja sendiri. Tetapi, hal ini memerlukan pertimbangan dan regulasi dasar awam berkaitan pekerjaan di Malaysia. Mungkin, dasar pekerja asing perlu diubah sedikit untuk membolehkan pelarian diserap masuk ke sektor-sektor yang memerlukan tenaga kerja. Jika ini dilakukan, kerajaan boleh membanteras ekonomi ‘gelap’ seperti penyeludupan pendatang asing yang kemudiannya digajikan oleh majikan. Dasar semisal ini bakal menutup ruang untuk berlakunya ‘pencerobohan’ dan ‘pemalsuan’ levi berkaitan pekerja asing di negara ini.

Namun, menyerap pelarian dan pencari suaka politik sebagai pekerja asing bakal ‘mencederakan’ pihak-pihak yang terlibat di dalam menjalankan urusniaga berkaitan pengambilan pekerja asing. Pihak-pihak yang mendapat hak untuk membawa masuk pekerja asing mungkin ‘terluka’ jika kerajaan menyerap pelarian yang sudah berada di Malaysia menjadi tenaga kerja yang sah. Walaupun mahu merasa marah, namun pihak-pihak yang ‘tecedera’ perlu sabar sementara penyelesaian kepada isu pelarian dan pencari suaka yang lebih tuntas dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Akhirnya, di sektor mana sekalipun, pekerja tetap nadi pembangunan negara. Selamat Menyambut Hari Pekerja pada 1 Mei setiap tahun.

Mohd Ramlan Mohd Arshad, pengkaji PhD di UUM. Pensyarah Kanan di Fakulti
Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Negeri Sembilan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast