KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakyat Pahang di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 di sini hari ini.
Baginda diiringi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda-anakandanya.
Ketibaan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong kira-kira pukul 6 petang disambut oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rossy Wan Ismail dan isteri.
Tradisi berbuka puasa di Padang MBK 1 di Kuantan cukup sinonim bagi penduduk bandar raya terbabit sepanjang Ramadan.
Tidak terkecuali lokasi sama turut menjadi pilihan keluarga diraja setiap tahun mencemar duli untuk berbuka puasa bersama rakyat jelata.
Baginda dan permaisuri berkenaan melawat sekitar bazar Ramadan di Mahkota Square dan membeli juadah untuk berbuka.
Antara juadah dibeli baginda ialah pulut panggang, sotong dan ayam goreng.
Baginda kemudian meluangkan masa beramah mesra dengan orang ramai yang memenuhi kawasan padang terletak berhampiran Masjid Sultan Ahmad 1 semasa menunggu waktu berbuka puasa.
Rakyat juga tidak melepaskan peluang untuk berswafoto dengan pasangan diraja itu. – MalaysiaGazette