KUALA LUMPUR – Baki empat daripada 16 warganegara Malaysia yang mendakwa menjadi mangsa sindiket tawaran pekerjaan di Kemboja selamat tiba di tanah air pada 4.35 petang semalam, dari Phnom Penh.
Menurut Kementerian Luar, empat individu tersebut tidak dapat menyertai penerbangan pulang 12 yang lain pada 11 April kerana mereka didapati positif COVID-19 sebelum berlepas.
“Mereka dibenarkan pulang ke Malaysia setelah selesai menjalani kuarantin tujuh hari di Kemboja dengan dipantau Kedutaan Besar Malaysia di negara itu,” demikian menurut Wisma Putra menerusi catatan di akaun Facebook rasmi, hari ini.
Selain itu, Wisma Putra juga menasihatkan warganegara Malaysia supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran pekerjaan di luar negara bagi memastikan mereka tidak terjebak dalam sindiket sedemikian.
Perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa bersedia memberikan nasihat sewajarnya berhubung perkara itu serta membantu warganegara Malaysia yang berada dalam kesulitan.
— BERNAMA