ALOR GAJAH  – Kerajaan negeri, khususnya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dicadang menggunakan kaedah jarum dan muzik bagi menghapuskan masalah burung gagak di lokasi tumpuan pelancong di negeri ini.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, cara tersebut dilihat berkesan mengurangkan populasi gagak sehingga lebih 50 peratus seperti dilakukan negara maju seperti Singapura.

Menurutnya, sudah tiba masanya MBMB memikirkan cara lain yang lebih efektif, berperikemanusiaan dan mudah untuk mengatasi masalah gagak yang semakin banyak di pusat-pusat tumpuan pelancong.

“Mungkin kaedah tembak boleh digantikan dengan pemasangan pembesar suara muzik di pokok-pokok yang menjadi habitat haiwan ni berkumpul kerana ada sesetengah muzik itu tidak disukai dan akan mengganggu deria haiwan ini.

“Cara kedua adalah kaedah jarum yang dipasang di pokok-pokok berkenaan bagi mengelak ia dihinggap dan kedua-dua kaedah yang telah digunakan di Singapura ini terbukti berkesan apabila hampir tiada lagi masalah itu,” katanya.

Khoo Poay Tiong

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan di Empangan Durian Tunggal, di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan aduan penduduk dan pelancong di sekitar Kota Laksamana, Bangunan Stadthuys dan Banda Hilir mengenai kebanjiran burung gagak sekali gus menyebabkan pencemaran najis, bau dan bunyi sehingga menjejaskan imej Melaka sebagai negeri pelancongan.

Mengulas lanjut Poay Tiong berkata, beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada Datuk Bandar MBMB sebelum Aidilfitri ini agar ianya dapat segera dilaksanakan.

“Jjika dua kaedah ini dapat dilakukan, ia mampu menyelesaikan sekurang-kurangnya separuh daripada masalah gagak di negeri ini.

“Malah, kaedah ini juga lebih jimat untuk jangka masa panjang kerana tidak memerlukan penglibatan anggota penguat kuasa yang ramai untuk menembak burung berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun jelasnya, orang ramai juga perlu berperanan menjaga kebersihan kerana lazimnya tempat yang terdapat banyak sisa makanan akan menjadi habitat haiwan berkenaan. – MalaysiaGazette