Siti Bainun Ahd Razali Bella Rumah Bonda laundry room abuse neglect Down Syndrome
Siti Bainun Ahd Razali

KUALA LUMPUR – Mulai hari ini orang awam yang mahu mengikuti kes pengabaian remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella perlu mengambil pas sebelum dibenarkan masuk ke dalam Mahkamah Sesyen.

Wartawan yang membuat laporan berita kes berkenaan juga perlu berbuat demikian.

Sebelum ini wartawan dan orang awam bebas untuk masuk  mendengar perjalanan kes.

Bagaimanapun selepas kes berkenaan mendapat tumpuan masyarakat, bilangan orang awam yang hadir semakin ramai dan untuk berlaku adil jumlah wartawan dan orang awam diseimbangkan.

Dijangkakan hari ini peguambela tertuduh akan membuat sesi soal balas terakhir terhadap saksi kelima pendakwaan, Yasmin Nahar Mahmood, 18, sebelum pihak pendakwaan membuat sesi soal semula terhadap saksi berkenaan.

Dalam pada itu, sumber pendakwaan memberitahu Malaysia Gazette, pihaknya masih belum menerima permohonan daripada pihak peguam Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menjadi peguam pemerhati.

Ahad lalu, Tunku Ismail menawarkan khidmat peguam secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) terhadap kes Bella.

Dalam perbincaraan sebelum ini, Yasmin membuat pelbagai pendedahan kepada mahkamah mengenai penderaan dan cara penderaan yang berlaku ke atas remaja orang kelainan upaya terbabit.

Antaranya, Yasmin, yang merupakan penghuni Rumah Bonda dan juga penghuni kondo di mana kejadian penderaan berlaku berkata, Bella dikatakan telah disiram dengan air panas dan dipaksa memakan cili.

Yasmin yang diambil oleh Siti Bainun untuk tinggal di Rumah Bonda dari wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur ketika mengandung lapan bulan turut mendakwa kejadian Bella menarik langsir hingga jatuh menjadi punca kebencian Siti Bainun terhadap remaja OKU itu.

Pada berbicaraan Jumaat lalu, peguambela Siti Bainun mendakwa Yasmin telah membuat 10 penipuan kepada mahkamah ketika memberi keterangan.

Ini termasuk kejadian langsir ditarik Bella yang dikatakan menjadi punca Siti Bainun menyeksa Bella, menurut peguambela tertuduh berlaku pada Oktober 2020.

Sedangkan kejadian penderaan terhadap remaja OKU itu pula bermula pada Mac 2021, seperti yang diberitahu sendiri oleh Yasmin.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi. – MalaysiaGazette